Gadgets

Hari Malaysia 16 September

16 September, Hari Malaysia merupakan cuti umum bagi seluruh rakyat Malaysia. Hari Malaysia 2023 ke-60 jatuh pada hari Sabtu. Logo dan Tema Hari Malaysia 2023 adalah "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan" sama dengan Hari Kebangsaan 2023.


Sambutan Hari Malaysia 2023 peringkat kebangsaan akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Tambahan cogan kata dalam Bahasa Iban iaitu "Segulai Sejalai"turut akan digunakan pada sambutan Hari Malaysia nanti yang membawa maksud "berjalan seringan".

Maksud Segulai ialah bersatu dan bekerjasama di samping berpegang kepada pandangan yang sama manakala. Sejalai pula membawa maksud berjalan atau melangkah bersama ke hadapan.

Cogan kata bertepatan dengan Sambutan Hari Malaysia yang melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama yang utuh dalam kalangan rakyat di negara Malaysia.

Ia menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia sebagai tonggak untuk merealisasikan harapan Malaysia MADANI.

Hari Malaysia 16 September

Hari Malaysia, 16 September

16 September 1963 merupakan tarikh hari Malaysia pertama. Tarikh 16 September setiap tahun disambut bagi memperingati, menghayati dan memahami sejarah tarikh penubuhan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat dan bebas dari cengkaman kolonial British.

Penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.

Kepentingan sambutan Hari Malaysia juga untuk memperingati jasa dan sumbangan para pemimpin dan pahlawan negara terdahulu yang telah berjuang mengangkat martabat dan maruah bangsa dan negara daripada belenggu penjajahan asing.

Kemerdekaan itu sendiri dapat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia. Semoga kita semua dapat mengekalkan perpaduan dan keharmonian tersebut.

Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya. Janganlah kita bersikap rasis. Orang dulu-dulu elok je hidup berbilang kaum kerana mereka sangat menghargai erti sebuah kemerdekaan.

Sejarah Hari Malaysia 16 September 1963

Hari Malaysia pada 16 September disambut setiap tahun sejak penubuhan persekutuan Malaysia tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. 

Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Walupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Membawa Perubahan Kepada Negara

Tarikh 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.

Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei 1961 lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.

Dalam ucapan tersebut, beliau telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia.

Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak.”

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di peroleh untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. 

Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963. 

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Rentetan Peristiwa Hari Malaysia

27 Mei 1961

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk kerjasama politik

23 Julai 1961

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.

Ogos 1961

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah

18-20 Disember 1961

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak

6-7 Januari 1962

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur

17 Januari 1962

Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha

3-4 Februari 1962

Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia

21 Jun 1962

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

Julai 1962

Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.

9 Julai 1963

Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

16 September 1963

Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia.

Disediakan oleh :
Unit Penerangan & Penerangan BKPPPM sesi 2015/16
sumber :  bkpppm

31 Ogos atau 16 September

Fakta sejarah mencatatkan gagasan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 apabila negara merdeka dan berdaulat yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu bersekutu dengan bekas koloni-koloni British iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura (yang dikeluarkan pada tahun 1965).

Walaupun Malaysia dikatakan wujud pada 16 September 1963, keanggotaan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah pada 17 September 1957 tidak lama setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong kekal menjadi ketua negara Malaysia.
Selain itu, matawang Ringgit, lagu kebangsaan dan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu terus diguna pakai tanpa perubahan dalam Persekutuan Malaysia.

Lagi pula, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang diratifikasi pada 27 Ogos 1957 dijadikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan beberapa pindaan bagi membolehkan kemasukan Sabah dan Sarawak mengambil tempat.

Oleh itu, apakah benar Malaysia sememangnya sebuah negara baru yang ditubuhkan pada 16 September 1963 atau hanya sekadar negara kesinambungan Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957?

Perkara 1(2) dibaca sekali bersama dengan 1(3) dan 1(4) Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menetapkan bahawa Malaysia terdiri daripada 13 buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak beserta 3 wilayah-wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.
sumber : astro awani

No comments

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.