Ini cerita tahun lepas bulan Disember 2025, tapi baru nak up cerita ni bulan Julai 2026. Aci lah kan? Banyak cerita tertangguh yang terpaksa ditangguhkan. Sehari selepas mak meninggal, saya uruskan untuk sijil kematian arwah mak.
Urusan sijil kematian arwah abah sebelum ni saya uruskan juga. Mana yang boleh kita uruskan, kita uruskan. Ada kesempatan sehari lagi dikampung masa tu sebab esoknya saya ada appoinment follow up operation mata.

Awal pagi dah pergi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Segamat. Masuk-masuk je ada guard/staff tanya untuk buat urusan apa. Dia akan bantu untuk ambilkan nombor giliran. Senang ada yang bantu. Tak ada lah kita terhegeh-hegeh ambil masa nak membelek dan tekan apa di mesin tu..
Lebih kurang 5 minit menunggu, sampailah giliran saya. Untuk permohonan sijil kematian ni hanya boleh dibuat oleh waris terdekat sahaja.

Masa saya pergi tak ramai pun. Jadi, taklah lama menunggu. Sebelum ke kaunter, ambil siap-siap gambar kad pengenalan/Identity Card (IC) arwah mak buat kenangan sebab lepas diserahkan di kaunter, IC akan dipotong dan tidak dikembalikan.

Pemohon/waris terdekat yang layak
- Ibu/bapa
- suami/isteri
- anak
- adik-beradik
Dokumen yang diperlukan
- Kad pengenalan simati (asal & salinan)
- Kad pengenalan pemohon
- Surat pengesahan kematian
Saya buat salinan siap-siap dokumen yang diperlukan. In case tiba-tiba minta pula kan. Untuk maklumat lanjut terkini boleh rujuk di website JPN.
Di kaunter perlu isi borang yang disediakan. Selepas isi dan tandatangan, kena tunggu sebentar sementara menunggu sijil kematian siap.
Sebelum ni dapatlah tengok dia potong IC di depan mata kita. Tapi haritu, lepas dah selesai isi borang dan tandatangan dia suruh tunggu di tempat duduk. Agaknya lepas tu baru dia potong. Dah tak potong depan kita dah.

Tak lama menunggu, sijil kematian pun siap. Mudah dan cepat urusan sijil kematian. Tak perlulah nak tunggu sehari ke baru siap. Alhamdulillah, Allah permudah segala urusan. Semua dah serba cepat siap sekarang ni.
Saya pun baru tahu, sijil kematian ni bukan hanya boleh buat satu je. Kalau waris lain nak buat simpanan sijil kematian asal juga, boleh mohon dimana-mana cawangan JPN.
0 Comments