Jun 2026 | Hari sabtu, keluarga adik-adik ipar dan mak ke Pantai Teluk Kubor nak mencari remis katanya. Lepas kami selesaikan urusan pagi tu terus lah ke Pantai Teluk Kubor Port Dickson. Mereka dah sampai awal dan tengah meremis (mencari remis).
Ada ke perkataan meremis? Dia macam mencendol (makan cendol) kaedahnya. Pantai ni belakang Eagle Ranch Resort. Ikut je jalan masuk ke sini, terus je sampailah nampak pantai. Jangan pula belok masuk Eagle Ranch tu.
Ramai juga mencari remis kat sini. Sampai hujung sana orang cari remis. Yang paling seronok tu budak berdua ni lah. Dapat main air. Itu yang mereka mahukan.

Dia punya healing, macam dunia ni ana yang punya. Seronok jadi budak-budak. Main je tanpa perlu fikirkan masalah negara. Tengok gambar ni rindu zaman kanak-kanak riang.

Masa kami pergi ni air pasang tinggi sikit, jadi tak nampak luas pantai landainya. Mujur ada banyak pokok tepi pantai ni. Dapatlah kami berteduh bawah pokok. Sunburn 3.0 untuk saya selepas jalan-jalan di Teluk Batik dan Pulau Pangkor.

Saya dan Encik Suami tak join sekali mencari remis. Kami tak bawa baju lebih sebab ada urusan pagi tu. Tak plan juga nak mencari remis.
Jadi pemerhati je tepi pantai tolong jaga anak buah. Kerusi healing tu memang letak dalam bonet kereta. Dapatlah guna untuk duduk kat tepi pantai ni.

Mujurlah tak meragam budak kecil ni. Dah lama tak jumpa, dia tak nak pula dengan saya. Sebelum ni okay je. Tulah kan, lama tak jumpa. Lupa agaknya. Tapi lama-lama okay je.

Adik healing dengan uwan dan Mak Ngah. Pak Ngah tukang ambil gambar. Kami tukang jadi pemerhati je lah ye hari ni. Ampunn...
Kami bawa nasi ayam golek bro dari Seremban. Tak kan tak ada makan-makan kan. Lagipun dah nak tengah hari dah, waktu makan tengah hari. Mesti semua lapar dah berpenat cari remis.
Beli 9 bungkus untuk 9 orang. Senang nak makan dibungkus satu-satu dalam kotak ni. Kami pun tak makan lagi. Bawa makanan ni dapatlah makan ramai-ramai feeling-feeling berkelah tepi pantai gitu kan.

Dah lama tak makan nasi ayam golek bro ni. Dulu selalu juga beli ayamnya. Sekarang dah jual set nasi. Lebih bagus macam tu kan. Tak adalah beli ayam semata-mata.
Ada orang jual aiskrim, anak buah minta beli aiskrim. Belilah juga aiskrim kon ni. Lepas tu terbaca kat thread pasal orang jual aiskrim ni tak hygiene. Kita pula lupa nak tengok haritu hygiene ke tidak. Benda dah lepas pun. Itu last lah beli aiskrim kon ni. Lepas ni tidaklahhh. Titik!


Remis ni dia ada banyak pattern corak ye. Macam-macam warna ada dalam keluarga mereka. Hasil pencarian, mereka bahagi 3 termasuk saya. Ehh..kita tukang perhati pun dapat. Aduh, dah kena rasa bersalah pula ni sebab tak menolong mencari.
Mereka kata banyak ni dan dah siap asing dah. Hmm..baiklah. Sebelum tu adik ipar ada tanya, makan remis tak? Saya jawab tak pernah makan. Itu yang dia bagi tu. Kira rezeki saya lah tu. Orang memberi, kita merasa.
Dah kemas-kemas barang semua, masing-masing pun gerak ke rumah masing-masing. Saya tak pernah tahu pun nama pantai ni. Tak tahu juga ada remis kat sini. Adik ipar kata dia pun tahu dari TikTok. Dengar nama dia macam seram. Ada kubur ke kat sini?
Air dia taklah jernih sangat tapi bersih boleh mandi. Pasir pun ada kasar ada halus. Pantai bersih cuma hati-hati tepi bawah pokok tu sebab ranting dan dahan bersepah sikit.
Macam tak ramai tahu tempat ni. Sesuailah untuk berkelah tepi pantai sebab dekat je dengan jalan. Parkir pun tepi jalan je.
0 Comments