Dari puncak Beliung, kami singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah untuk menunaikan solat. Ramai juga pelancong yang datang berkunjung ke masjid ni. 

Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah merupakan salah satu masjid popular di Batam yang wajib singgah. Masjid yang gah terbesar di Sumatra yang juga menjadi kebanggaan masyarakat tempatan. 

Seni bina masjid ini menggabungkan seni bina Melayu dan Timur Tengah dengan warna putih dan biru.

Singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah Batam

Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah, Batam

Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah adalah sebuah masjid yang berada di kota Batam, Provinsi Kepulauan Riau, Indonesia. 

Masjid ini memiliki kubah terbesar di Indonesia, dengan muatan lebih daripada 25000 orang jemaah. Masjid ini juga dilengkapi dengan 8 payung membran setinggi 17 meter, seperti yang ada di Masjid Nabawi. 

Total luas bangunan Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah ini mencapai 57114 meter persegi, sedangkan luas tanahnya mencapai 41422 meter persegi bersamaan 4 hektar lebih.

Sejarah Masjid Sultan Mahmud Riiayat Syah, Batam

Peletakan batu pertama dilakukan oleh Muhammad Rudi pada 30 April 2017. Pembangunan masjid ini memakan waktu 2 tahun, dan kemudian dirasmikan oleh walikota batam Muhammad Rudi pada 20 September 2019.

Asal-usul nama masjid ini diambil daripada Sultan Mahmud Riayat Syah III. Sultan Mahmud Riayat Shah III (Mahmud Syah III) [محمود شاه] atau nama panjang baginda Paduka Sri al-Wakil al-Imam Sultan Mahmud Riayat Syah Zilullah fil-Alam Khalifat ul-Muminin III ibni Sultan Abdul Jalil Syah V merupakan sultan Johor-Riau-Lingga ke-16 pada 1761-1812 Masihi.

Sultan Mahmud Syah III diputerakan pada tarikh bersamaan 24 Mac 1756, putera kepada Sultan Abdul Jalil Muazzam Syah dengan isteri keduanya, Tengku Puteh binti Daeng Chelak. Baginda merupakan putera bongsu dan baginda merupakan adinda kepada Ahmad Riayat Syah (berkuasa dari tahun 1761-1770). Sultan Mahmud Syah III naik takhta pada usia sekitar 14 tahun menggantikan kakandanya, Ahmad Riayat Syah.

Sultan Mahmud Syah III membuka Lingga dan menjadikannya pusat pemerintahan Riau-Johor-Lingga-Pahang. Namun akhirnya dengan campur tangan penjajah dan musuh-musuh politik dalaman maka akhirnya pusat kesultanan di Lingga mengecil hanya untuk berkuasa di Riau-Lingga sahaja di bawah naungan kuasa Belanda, manakala Johor-Pahang bernaung pula di bawah kuasa Inggeris.
 
Akibat daripada perpecahan itu juga, pentadbiran kerajaan Riau-Johor-Lingga dibahagi kepada tiga negeri dan diperintah oleh pemerintah yang berlainan, iaitu Singapura diperintah Bendahara, Riau diperintah Yamtuan Muda dan Lingga diperintah Sultan.

Semasa menjadi Sultan Riau-Johor-Lingga-Pahang, Sultan Mahmud mempunyai beberapa orang isteri iaitu :
  • Anak Bendahara Abdul Majid di Pahang. Isteri ini mangkat pada tahun 1803 tanpa beroleh anak.
  • Cik Makuh, anak pembesar Bugis Daeng Maturang, yang juga dikenali dengan nama Encik Jaafar. Dari perkahwinan ini lahir seorang putera bernama Tengku Hussain atau Tengku Long.
  • Cik Mariam anak pembesar Bugis bernama Dato Syahbandar Hassan. Mereka beroleh seorang putera bernama Tengku Abdul Rahman (Raja Jumaat atau Si Komeng). Pulau Lingga diserahkan hakmiliknya kepada Tengku Abdul Rahman.
  • Pada tahun 1803, Sultan Mahmud Syah III berkahwin dengan Raja Hamidah atau Engku Puteri anak Al Marhum Raja Haji (Marhum Teluk Ketapang). Mereka mempunyai cahaya mata perempuan tetapi meninggal dunia tidak lama setelah dilahirkan. Kata sesetengah orang, Pulau Penyengat yang berhampiran Pulau Bintan dijadikan emas kahwinnya. Pulau ini diperindah dan digelar Pulau Penyengat Indera Mulia. Baginda menyerahkan pulau itu kepada Raja Hamidah sebagai hak milik peribadinya.

sumber dari : Hayy Al Musafir Travel & Tours Sdn Bhd


Singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah Batam

Tengok dari kejauhan pun dah nampak betapa besarnya kubah masjid ni. Encik Suami sempatlah juga ambil gambar kubah utama dari ruang solat muslimin. Kubah ini berukuran 63 meter dan merupakan antara kubah terbesar di Indonesia.

Ruang utama solat pula luas tidak mempunyai tiang penyangga di tengah supaya saf jemaah lebih tersusun dan selesa.

Singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah Batam

Ruang solat muslimat pula sebelah belakang ruang utama dipisahkan menggunakan panel penghadang berserta tirai. Tak bolehlah nak buka tudung terus sebab masih ada ruang kecil yang boleh nampak di celah tirai.

Singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah Batam

Selesai menunaikan solat, sempatlah ambil gambar kejap. Tak berlamaan pun sebab nak ke tempat lain pula. Dapatlah bergambar di 8 payung membran gergasi di halaman luar yang diinspirasikan dari Masjid Nabawi di Madinah.

Singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah Batam

Angin meniup sepoi-sepoi bahasa di ruang ni. Berkibar bagai bendera baju kami dibuatnya. Sejuk pula tu memijak lantai marmar. 

Kalau dapat rehat lama sikit di sini, dapatlah explore banyak lagi ruang yang menarik di sini. Tapi tulah kami tak cukup masa pula.

Singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah Batam
Payung membran

Gambar di bawah ni pula Menara Pandang yang tingginya 99 meter dimana dari atasnya dapat melihat pemandangan sekitar Batam. Kalau ada lebih masa bolehlah naik ke atas menara. Tapi kita ngak punyai waktu yang banyak. Hanya melihat saja dari bawah cukuplah.

Singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah Batam
Menara pandang

Gambar terakhir sebelum gerak balik. Tak teringat pula nak bergambar depan masjid dan ambil secara panorama dok sibuk borak dengan mak sambil berjalan menuju ke luar tu. Kena jadi pemegang tangan mak sebab mak tak boleh jalan laju-laju dan jauh. 

Singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah Batam

Alhamdulillah dapat juga kami singgah di Masjid Sultan Mahmud Riayat Syah yang cukup cantik dan indah ni. Dapat jugalah menunaikan solat di sini.

Cuaca mendung dan gambar pun jadi kelam. 

Bersambung...