Gadgets

Doa Nabi Zakaria Mohon Zuriat, Surah Al Imran Ayat 38 Dalam Al-Quran

Doa agar dimudahkan dapat anak (mohon zuriat), doa Nabi Zakaria dalam Al-Quran iaitu surah Al-Imran ayat 38 yang diamalkan sendiri oleh Nabi Zakaria A.S.

Memiliki anak merupakan salah satu anugerah terbesar dari Allah SWT yang memberikan kebahagiaan dan keberkatan dalam kehidupan. 

Doa mohon zuriat yang dibaca oleh Nabi Zakaria A.S ini mengingatkan kita bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa atas segala sesuatu. Kita sebagai hamba-Nya perlu sentiasa berdoa dan memohon kepada-Nya dalam segala hal, termasuklah memohon keturunan, zuriat. 

Doa Nabi Zakaria Mohon Zuriat Surah Al Imran Ayat 38 Dalam Al-Quran

Doa Nabi Zakaria Mohon Zuriat, Surah Al Imran Ayat 38 Dalam Al-Quran

رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
Rabbi habli milla dunka dhurryatan tayyiba innaka samiud du`a’

Maksudnya : “Ya Tuhanku, berikanlah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau maha pendengar doa”
Surah Al-Imran, 3:38

Kisah disebalik Surah Al Imran Ayat 38 Dalam Al-Quran

Setiap kali Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati ada makanan di sisinya. Zakaria bertanya ; “Wahai Maryam dari mana kamu dapat makanan ini?” Maryam menjawab; ”Makanan itu dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab”

Demikian kuasa Allah yang ditunjukkan kepada Maryam. Nabi Zakaria sendiri tidak mempunyai anak, kerana isterinya mandul. Namun, sampai usianya 100 tahun, masih berhajat mendapatkan anak, lalu beliau memanjatkan pengharapan kepada Allah.

Diceritakan dalam al-Quran : Ia berkata,
Wahai Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau wahai Tuhanku. Sesungguhnya aku khuatir terhadap orang yang akan menggantikan sepeninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul. Kerana itu anugerahkanlah aku dari sisi Engkau seorang putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia wahai Tuhanku, seorang yang diredhai.

Doa Nabi Zakaria diterima Allah dan beliau dijanjikan dengan kelahiran seorang anak, bernama Yahya, melalui isterinya yang sudah tua itu. Mengetahui berita itu, Zakaria bertanya kepada Allah: “Wahai Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku, padahal isteriku seorang yang mandul dan aku sendiri sesungguhnya sudah mencapai usia yang sangat tua.”

Allah berfirman kepadanya : “Hal itu adalah mudah bagiKu dan sesungguhnya Aku telah jadikan kamu sebelum itu, padahal kamu di waktu itu belum ada sama sekali.”

Kemudian Nabi Zakaria berkata : “Wahai Tuhanku, berilah aku suatu tanda.

” Allah berfirman: “Tanda bagimu ialah kamu tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal kamu sihat.”

Selepas itu, Nabi Zakaria tidak berkata lagi. Selama tiga hari tiga malam jika ke tempat ibadah beliau menggunakan isyarat supaya kaumnya bertasbih, sama ada pagi dan petang, sehingga didatangkan Allah malaikat kepadanya bagi memberitahu berita gembira itu.

Firman Allah bermaksud : 
“Kemudian malaikat Jibril memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri bersembahyang di mihrab itu, seraya berkata ; sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran seorang puteramu Yahya, yang membenarkan kalimat yang datangnya dari Allah, menjadi ikutan, menahan diri daripada pengaruh hawa nafsu dan seorang nabi daripada keturunan orang-orang soleh.

Semoga menjadi amalan setiap hari disamping amalan-amalan untuk memperoleh anak yang lain. Semoga doa dan ikhtiar kita dipermudah Allah SWT. 

Selitkan doa ini setiap kali selepas solat. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Pemurah. Semoga zuriat yang dilahirkan mampu memberikan kebaikan bukan sahaja kepada kita, malah kepada agama Islam dan bangsa.

Wallahu a’alam...

sumber

4 comments:

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.