Hari Kemerdekaan/Kebangsaan Malaysia 2022, Logo dan Tema

31 Ogos merupakan tarikh Hari Kemerdekaan/Kebangsaan Malaysia yang disambut setiap tahun. Merdeka 2022 kali ke-65 rakyat Malaysia sambut Merdeka.

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Itulah laungan keramat oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra sebanyak tiga kali yang bergema di segenap penjuru Padang Merdeka (Padang Pahlawan), Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 buat pertama kalinya.

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang baru dirasmikan telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur penuh semangat dan emosi.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.

Sempena sambutan hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 2022 ini, kita seharusnya mengambil peluang menghayati erti sebenar kemerdekaan dan lebih bersemangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri setiap individu. Bukan hanya sekadar mengetahui sejarah semata-mata.

Erti Kemerdekaan bukan hanya bebas daripada cengkaman penjajahan dan menghayatinya dengan sekadar melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! sahaja. Erti kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk melalui empat aspek utama, iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.

Ini kerana, generasi muda berhadapan ancaman penjajahan dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.

Sambutan Hari Kemerdekaan/Kebangsaan Malaysia 2022

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam kenyataan memaklumkan tiga aktiviti utama akan diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Ia merangkumi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

Di samping itu, pelbagai program dan pertandingan berunsur kenegaraan telah disusun bagi memupuk serta menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Ia antaranya Pertandingan ILHAM Merdeka Tik Tok Challenge, Pertandingan KLIK@Merdeka, Pertandingan Bintang Smule, Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Mewarna dan Melukis MYDOODLE@Merdeka, Program Pengisahan Kenegaraan, Sayembara Sajak Merdeka yang kesemuanya akan bermula pada 30 Julai hingga 16 Sept.

Bagi menyemarakkan semangat patriotisme pula, program Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM2022) yang berkonsepkan serah baton akan diadakan bermula pada 30 Julai di Putrajaya, dengan acara pelepasan akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menjelang sambutan hari kemerdekaan atau hari kebangsaan Malaysia, antara perkara yang menjadi perhatian rakyat Malaysia adalah reka bentuk logo dan tema hari Kebangsaan Malaysia.

Tema & Logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 adalah ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. Tema ini dipilih selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa.

Tema & Logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022


Logo Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2022 tahun ini pula berkonsepkan jalur liputan Internet melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.

Ia juga melambangkan kebersamaan, komited untuk terus maju ke hadapan serta keberadaan teknologi terkini yang menjadi penghubung kehidupan ekonomi rakyat.

Tema Hari Kebangsaan 2022 dan Hari Malaysia 2022 : Teguh Bersama

‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan juga Hari Malaysia 2022 selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia.

  • KELUARGA MALAYSIA : Merujuk kepada masyarakat hidup aman damai & bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
  • TEGUH :  Bermaksud kukuh, kuat dan erat
  • BERSAMA : membawa maksud bersama-sama beserta atau bergandingan

Manakala frasa TEGUH BERSAMA mendukung maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif serta mampan

Konsep logo Hari Kebangsaan tahun 2022

LOGO & RASIONAL LOGO HARI KEBANGSAAN MALAYSIA 2022

  • LOGO BERKONSEPKAN JALUR LIPUTAN INTERNET

Melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.

  • TIGA JALUR BIRU, MERAH DAN KUNING

Merupakan cerminan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar budaya serta hidup harmoni.

  • TITIK MERAH

Melambangkan jati diri dan semangat patriotik yang menjadi teras pembentukan negara berdaulat dan berwawasan.

  • KEDUDUKAN YANG BERSELANG-SELI

Melambangkan keterbukaan dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian demi kemajuan bersama.

Maklumat lanjut berkaitan tema, logo dan aktiviti Bulan Kebangsaan 2022 di laman web : www.merdeka360.my

Senarai Tema Hari Kemerdekaan/Kebangsaan Malaysia

2022 : Keluarga Malaysia, Teguh Bersama
2021 : Malaysia Prihatin
2020 : Malaysia Prihatin
2019 :  Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih
2018 : Sayangi Malaysiaku
2017 : Negaraku Sehati Sejiwa
2016-2015 : Sehati Sejiwa
2014 : Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta
2013 :  Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku
2012 : 1Malaysia. Janji Ditepat
2011 : Malaysia. Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera
2010 : Malaysia Menjana Transformasi
2009 : 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
2008 : Perpaduan Teras Kejayaan
2007 : Malaysiaku Gemilang
2006-2000 : Keranamu Malaysia
1999 : Bersatu Ke Alaf Baru
1998 : Negara Kita Tanggungjawab Kita
1997 : Akhlak Mulia Masyarakat Berjaya
1996 : Budaya Penentu Kecapaian
1995 : Jatidiri Penggerak Wawasan
1994 : Nilai Murni Jayakan Wawasan
1993 : Bersatu Menuju Wawasan
1992 : Wawasan Asas Kejayaan
1991 : Wawasan 2020
1990 : Berjaya
1989-1988 : Bersatu
1987 : Setia Bersatu Berusaha Maju
1986 : Bangsa Tegas Negara Teguh
1985 : Nasionalisme Teras Perpaduan
1984 : Amanah Asas Kejayaan
1983 : Bersama ke Arah Kemajuan
1982 : Berdisiplin Giat Maju
1981 : Berdisiplin Berharmoni
1980 : Berdisiplin Berbakti
1979 : Bersatu Berdisiplin
1978 : Kebudayaan Seni Perpaduan
1977 : 20 Tahun Bersatu Maju
1976 : Ketahanan Rakyat
1975 : Masyarakat Berdikari
1974 : Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
1973 : Masyarakat Kebudayaan Malaysia
1972 : Masyarakat Adil
1971 : Masyarakat Progresif
1970 : Muhibah dan Perpaduan

sumber : infosentral | pemiliku

14 comments:

  1. Berubah tema tahun ni
    tema kekeluargaan , terbaikk MalaysiaKu

    ReplyDelete
  2. Pada pendapat akak, logo tu tak menarik, tak menaikkan semangat.
    Tapi tak tahulah kan…sebab mestinya para profesional yang mereka logo ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Awal² logo ni dikritik netizen kak. Tak tahu lah nak kata. Setiap tahun logo jadi perhatian.

      Delete
  3. Logo yang ramai orang perkatakan sekarang

    ReplyDelete
  4. ohhh ni la yang diorang dok kata macam wifi tu haha

    ReplyDelete
  5. Teringin nak sambut merdeka tgok depan- depan macam kat Dataran Merdeka...blom pernah cuba lagi..kalau setakat kat Seremban tu selalu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rindu kan suasana sambutan merdeka yang meriah macam dulu²..Saya lagilah tak pernah pergi mana mana sambutan merdeka kak. Tengok kat TV je lah mampu

      Delete
  6. Memang mencari apa tema tahun ini.
    Terperinci. Tq.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam website yang saya share tu ada maklumat lebih lanjut lagi kak.

      Delete

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.