Awal Zulhijjah 2022

1 Julai 2022 bersamaan dengan 1 Zulhijjah 1443H. Sama pula tarikhnya permulaan bulan baru. Bulan Zulhijjah merupakan bulan istimewa yang disambut umat Islam dengan ibadah sunnah menambah pahala.

Bagi yang tidak berpeluang menunaikan ibadah haji, kita masih ada kesempatan untuk mengerjakan ibadah yang lain. Permulaan awal Zulhijjah, umat Islam dianjurkan untuk berpuasa sunat sehingga Hari Arafah pada 9 Zulhijjah.

Awal Zulhijjah 2022

Kelebihan 10 Awal Zulhijjah

1. Pahala yang lebih besar dari Jihad

10 hari pertama dari bulan Zulhijjah ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad.

Sabda Rasulullah :

مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ أَفْضَلَ مِنَ الْعَمَلِ فِي هَذِهِ ‏”‏‏.‏ قَالُوا وَلاَ الْجِهَادُ قَالَ ‏”‏ وَلاَ الْجِهَادُ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَىْءٍ ‏”‏‏.‏

“Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun Jihad? Baginda menjawab: Tidak juga Jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi.
- HR al-Bukhari

Mengapa 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih baik dari Jihad?

Menurut al-Imam Ibn Hajar :

والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره

“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedeqah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.
 - Fath al-Bari

2. Hari yang paling baik dalam setahun

10 hari pertama Zulhijjah dianggap sebagai hari yang paling baik dalam setahun.

Sabda Rasulullah :

أَفْضَلُ أَيَّامِ الدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ

“Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini.”

Sehingga atas dasar itu al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan.

Kata beliau:
أيام عشر ذي الحجة أفضل من أيام العشر من رمضان والليالي العشر الأواخر من رمضان أفضل من ليالي عشر ذي الحجة
Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadhan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah. [Majmu’ al-Fatawa, jilid 25, m/s 287]

3. Hari yang dicintai oleh Allah SWT

Sabda Rasulullah:

ما من أيام أعظم عند الله سبحانه ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر. فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid” 
- HR al-Tabrani

Amalan 10 Awal Zulhijjah

1. Orang yang melakukan ibadah berkorban dianjurkan tidak memotong, mencabut dan mencukur, bulu atau kuku.

Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu atau kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehinggalah haiwan korbannya disembelih.

Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya : “Barangsiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”
- HR Muslim, hadis sahih

2. Berpuasa pada Hari Arafah

Hari Arafah pada 9 Zulhijjah adalah hari amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.

Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, dianjurkan untuk berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari tersebut.

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya : “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah agar adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”
- HR Muslim, hadis sahih

Niat Puasa bulan zulhijjah

3. Memperbanyakkan Berdoa

Kebaikan Zulhijjah juga terletak pada doa yang diucapkan terutamanya pada Hari Arafah (9 Zulhijjah).

Nabi Muhammad SAW bersabda :

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

Maksudnya : “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
- HR al-Tirmizi, hadis hasan

Hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda :

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

Maksudnya : “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?”
- HR Muslim, hadis sahih

4. Menghidupkan suasana Hari Raya dengan bertakbir


Sabda Nabi Muhammad SAW :

زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير

Maksudnya : “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.”
- HR al-Thabarani

Istimewa Raya Aidil Adha adalah umat Islam bertakbir lebih daripada satu hari. Takbir pula terbahagi kepada dua.

  • Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق)
Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (Aidil Fitri atau Aidil Adha) dan berterusan sehingga Imam mula mengangkat takbir menunaikan solat sunat Hari Raya

  • Takbir Muqayyad (المقيد)
Bermula dari solat subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah)

Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.

‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata :
“Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”

5. Memperbanyakkan berzikir

Salah satu cara merebut kelebihan bulan Zulhijjah adalah dengan memperbanyakkan berzikir.

Hadis Nabi Muhammad SAW :

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Maksudnya : “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
- HR Ahmad

6. Memperbanyakkan sedekah


Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda :

صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ, وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ, وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمْر

Maksudnya : “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”
[HR al-Thabarani]

7. Melakukan ibadah korban bagi yang mampu

Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : 

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya : “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban).

Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
HR al-Tirmizi, hadis hasan

8. Makan daging korban dan berikan sedekah kepada asnaf dan fakir miskin

فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ

Maksudnya : “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir”.
- Surah al-Hajj : 28

9. Tidak berpuasa pada hari-hari Tasyrik

Hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah merupakan amalan melontar jamrah di Mina bagi yang mengerjakan ibadah haji. Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, digalakkan untuk melakukan ibadah korban pada tarikh tersebut.

Umat Islam juga dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT. Rasulullah SAW menyebutkan Hari Tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.

Sabda Nabi Muhammad SAW :

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya : “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”
- HR Muslim, hadis sahih

10. Mentadabbur ayat Al-Quran

Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah di dalam Al-Quran semasa membacanya.

Firman Allah SWT :

أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا

Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
Surah al-Nisa’: 82

Selamat beramal dan memanfaatkan 10 Awal Zulhijjah sepertimana amalan amalan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Semoga semua ibadah kita diterima Allah dan diberkati Allah SWT. 
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 
Bayan Li al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan Dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal.
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 

8 comments:

  1. Banyak manfaat awal10 Zulhijjah.
    Akan cuba buat apa yang dianjurkan mana yang mampu. Insya Allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga segala urusan ibadah kita dipermudah. Aamiin...

      Delete
  2. Salam Zulhijjah Fizah dan terima kasih atas perkongsian. Jom kita sama-sama perbanyakkan amal di bulan mulia ni

    ReplyDelete
  3. Banyak juga kelebihan2 pada bulan ni . Salam zulhijjah .

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah.Allah Maha Pengasihdan Maha Penyayang. Diberinya kesempatan untuk kita beribadat sebelum menjelang Aidil Adha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah..ada kemampuan kita rebut peluang ini.

      Delete

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.