Pengisian Ramadhan #22 : Mencari Malam Lailatul Qadar

Mencari Malam Lailatul Qadar iaitu  satu malam pada Ramadan yang penuh berkat, malam yang mengandungi banyak kebaikan kerana pada malam itu malaikat turun membawa rahmat dan kesejahteraan seperti diterangkan dalam al-Quran.

Mencari Malam Lailatul Qadar
Sumber gambar dari google
Agung dan mulianya Lailatul Qadar sehingga Rasulullah SAW menyeru kepada umatnya melakukan persediaan menyambut dan menghayati malam yang berkat itu. Ibadah yang boleh dilakukan seperti membaca Al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu yang dipanggil I'tikaf.

Sebenarnya Ramadhan,Al-Quran dan malam Lailatul Qadar adalah gandingan yang mempunyai hubungan sangat rapat. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar, pada Ramadan.
"Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Al-Qadr:1-5)
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabdanya, bermaksud: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis sahih riwayat Bukhari)
Malam Lailatul Qadar mempunyai keberkatan dan kebaikan berlimpah ruah, sehingga dikatakan tiada tandingan berbanding malam lain dan tidak dinyatakan dengan jelas pada hari tertentu. Ia di katakan berlaku pada malam yang ganjil samada pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan. Ada hadis yang menyatakan Lailatul Qadar pernah ditemui pada zaman Rasulullah s.a.w pada malam 21 Ramadan dan malam 23 Ramadan.

Malam penuh berkat itu dirahsiakan supaya setiap orang Islam bersungguh-sungguh dalam menghayati 10 malam terakhir Ramadhan dengan amal ibadah serta memberikan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT supaya dapat bertemu malam berkenaan.

Akan tetapi apa yang penting adalah ketaatan kita beribadah kerana Allah SWT semata-mata dan ganjaran orang yang beribadah adalah terjamin, sama ada di dunia atau di akhirat. Apa yang penting sekali ialah menghayati malam² terakhir Ramadhan dengan amal ibadat, beriman dengan yakin bahawa Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah semata-mata ikhlas dengan mengharapkan rahmat dan reda-Nya.

Wallahu a’lam. Moga kita semua dipertemukan dengan Malam Lailatul Qadar. Aamiin...

6 comments:

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.