Header Ads

Bacaan Niat Puasa Sunat Tasu’a Dan Asyura Serta Kelebihan Puasa Sunat Asyura

Awal Muharram 1444 Hijrah/ Maal Hijrah 2022 disambut pada 30 Julai 2022 yang lalu. Datangnya bulan Muharram bermulanya tahun baru dalam kalendar Islam. 

Kelebihan Bulan Muharam

Muharram adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Maal Hijrah merupakan peristiwa penting dalam sejarah Islam untuk memperingati memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi.

Bermula tarikh itu, berlakulah perkembangan dan penyebaran dakwah Islamiyyah dengan lebih sistematik dan teratur. Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda menghadapi segala ancaman dan cabaran dengan penuh ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang membuktikan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam. Bulan Muharam merupakan salah satu bulan haram yang didalamnya dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyak amalan puasa sunat.

Allah SWT telah menjadikan bulan Muharram sebagai salah satu dari bulan-bulan haram seperti mana dalam firmanNya yang bermaksud :

Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (suci). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.- (QS. At-Taubah: 36)

Bulan Muharram ini mempunyai kelebihan seperti yang telah dijelaskan dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT bahawa ianya adalah salah satu daripada bulan haram.

Rasulullah SAW juga telah menjelaskan melalui hadis sabda Baginda mengenai bulan- bulan haram yang terdiri daripada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. 

Bulan-bulan haram ini adalah bulan diharamkan untuk berperang dan juga diberikan kemuliaan dari segi diberi ganjaran besar dalam amal soleh yang dilakukan dalam bulan ini. 

Amalan Bulan Muharram

Menurut Imam Nawawi, bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antara puasa-puasa sunat yang dianjurkan selain puasa sunat Isnin dan Khamis :

puasa sunat 2022
sumber : Majlid Wilayah Persekutuan
  • 1 Muharram : Puasa awal tahun Hijriyah
  • 9 Muharram : Puasa Tasu’a
  • 10 Muharram : Puasa hari Asyura
  • 13 Muharram : Puasa sunat hari Putih
  • 14 Muharram : Puasa sunat hari Putih
  • 15 Muharram : Puasa sunat hari Putih
Manakala solat sunat yang utama selepas solat fardu ialah solat sunat malam (qiamullail).

Puasa Sunat Tasu’a Dan Asyura Bulan Muharram

Anjuran berpuasa sunat 9, 10 dan 11 Muharram yang dinamakan Hari ‘Asyura dan Hari Tasu’a. Dari perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan, amalan berpuasa pada hari sebelum atau selepas 10 Muharam adalah bertujuan bagi menyelisihi amalan penganut agama Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Puasa Sunat Tasu’a Dan Asyura
sumber : Kuliah Agama Sekitar Melaka

Tarikh puasa sunat Tasu’a Dan Asyura

Tarikh puasa Tasu'a 2022 pada 9 Muharram 1444H / 7 Ogos 2022 (Ahad) dan tarikh puasa Asyura 2022 pada 10 Muharram 1444H / 8 Ogos 2022 (Isnin).

Bacaan Niat puasa sunat Tasu’a dan niat puasa sunat Asyura

Waktu Bacaan Niat : Bacaan lafaz niat boleh dilafazkan bermula malam hari sehingga siang hari sebelum waktu tergelincirnya matahari atau sebelum waktu zuhur.

Niat Puasa Sunat Tasu’a Dan Asyura
sumber : JAKIM

Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Niat puasa sunat Tasu'a dalam rumi
Nawaitu Sauma Tasu’a Sunnatal Lillahita’ala
 
Maksudnya : Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Tasu’a Esok Hari Kerana Allah Ta’ala

Lafaz Niat Puasa Asyura

نَوَيْتُ صَوْم عشرسُنَّة لله تَعَالى

Niat puasa sunat Asyura dalam rumi
Nawaitu Sauma Asyura Sunnatal Lillahita’ala
 
Maksudnya : Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana Allah Ta’ala

Berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram) mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda : “Puasa hari ‘Asyura’ itu; sesungguhnya Aku bermohon kepada Allah agar dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.” (Riwayat: al-Tirmizi).

Fadilat puasa sunat Asyura

Kelebihan puasa Asyura dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.

Daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya : Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya. Riwayat Ibn Majah (1738)

Fadilat Berpuasa Hari Tasu’a 

Tujuan berpuasa sunat pada hari Tasu’a adalah untuk membezakan amalan yang dilakukan kaum Yahudi iaitu berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Dan juga riwayat daripada Ibn Abbas R.A. beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda :

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya : Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya. Riwayat Ahmad (2154)

Sunat berpuasa pada 9 Muharram (puasa tasu’a) atau 11 Muharram (Puasa Sunat Hari Ahada ‘A-syara) mengiringi 10 Muharram (puasa hari asyura) untuk membezakan antara ibadah kita (puasa tasua dan asyura) dengan ibadah puasa kaum Yahudi. Tarikh puasa 11 Muharram 1444H pada hari Selasa, 9 Ogos 2022.

Soal Jawab Puasa 10 Muharram

1) Sunat berpuasa pada 10 Muharam, berdasarkan hadis bahawa berpuasa pada 10 Muharam memiliki fadilat menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.

2) Disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharam mengiringi 10 Muharam kerana ini perintah Rasulullah SAW agar menyelisihi amalan kaum Yahudi pada zaman baginda.

3) Ulama juga menyatakan jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam maka berpuasalah pada 10 dan 11 Muharam.

4) Apakah hukum berpuasa pada 10 Muharam sahaja? Menurut Imam Ibnu Hajar di dalam karya beliau “Tuhfah al-Muhtaj”:

قول المتن (وعاشوراء) ولا بأس بإفراده

Maksudnya : Teks (Al-Minhaj) menyebut: “...dan (disunatkan berpuasa) Asyura” dan tidak mengapa hanya berpuasa pada hari itu sahaja.

5) Menurut kenyataan di atas, mazhab Syafi’ie mengharuskan berpuasa pada 10 Muharam sahaja walaupun tanpa iringan puasa pada 9 Muharam.

6) Namun yang amat digalakkan iaitu lebih afdal berpuasa sehari sebelum Asyura kerana itu keazaman baginda pada masa akan datang. Jika tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam maka digantikan pada 11 Muharam.

Wallahu'alam.

Kredit : Ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Sumber : mais.gov.my | mysumber 

4 comments:

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri. Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan. Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun, soalan yang jawapannya terang lagi bersuluh ada dalam entri, atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan. Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum.

Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.