Hari Sabtu minggu lepas Encik Suami ke pasar beli barang dapur. Saya tukang senaraikan apa yang perlu. Dah pesan siap-siap kalau nak beli keladi tu pastikan ada siput sedut sebab nak masak siput sedut masak lemak cili api campur keladi.

Disebabkan dah lama tak muncul siput sedut ni di pasar, saya pun jadi kurang teringin dah. Jadi dalam list apps note tu saya tandakan KIV je. Nanti-nantilah beli kalau rasa teringin. Tiba-tiba ada pula di pasar tu.

Bila teringin seekor pun tak nak muncul, bila tak teringin meriah pula datang sekampung. Menduga kesabaran betul lah kan.

Nak dijadikan cerita, Encik Suami dah beli baru call cakap dah beli siput sedut. Makanya kenalah beli keladi. Dan kita terpaksalah juga merajinkan diri berlamaan di dapur tu.

Akhirnya dapat jugalah siput sedut yang dihajati. Alhamdulillah...

Dapat pula siput sedut yang segar, masih hidup lagi. Ada hikmahnya tak dapat makan sebelum ni, sekarang dapat yang elok-elok semuanya. Segar dan masih hidup lagi.

Saya rendamkan dengan air garam. Memanjat masing-masing melarikan diri.

Siput sedut segar

Besar-besar saiz siput sedut ni. Memang puas hatilah membeli. Siput saiz dewasa rasanya ni kan. Encik Suami beli sekilo, RM26. Harga boleh tahan juga tapi berbaloi dengan saiz dan segarnya siput sedut ni.

Siput sedut besar segar

Ni nak masak ke nak ambil gambar ni. Teruja kan dapat siput sedut segar. Lama pula tak makan siput sedut masak sendiri. Jadi jakun kejap. 

Siput sedut hidup

Salah satu punca kerja masak jadi lambat sebab inilah, sibuk nak ambil gambar. Bila nak siapnya. Kalau mak ada ni confirmlah kan kena bebel. Tapi bebelan tu lah yang dirindui bila dah tiada. Hmmm...sedih lagi!

Selepas rendam dengan air garam. Bilas dan toskan untuk proses seterusnya memotong bawah siput sedut tu. Nak panggil apa bahagian bawah tu ek?

Siput sedut segar hidup

Saya gunakan gunting je untuk memotong tapi yang keras tu terpaksalah guna pisau besar potong ayam tu. Dah potong, saya rendam lagi dengan air garam 5 minit macam tu, bilas beberapa kali sampai bersih dan barulah ke proses memasak.

Siput sidut telah dibersihkan

Sebelum proses bersihkan siput sedut, saya rebus dulu keladi ni bagi empuk. Nanti baru campurkan dengan siput sedut. Orang masak campur batang keladi, tapi saya campur keladi, batangnya pun tak berapa nak ada.

Jadilah campur keladi pun, dapat juga makan keladinya tu. Campur keladi ni nak bagi pekat sikit kuah tu, barulah sedap dimakan. Tapi ada orang suka makan tanpa campur keladi. Ikut selera masing-masing lah ye.

Keladi

Jangan tanya saya jenis atau nama keladi ni, saya tak tahu. 

Siput sedut masak lemak cili api campur keladi masak cara Fiza

  • Potong keladi dan rebus sampai empuk. Dah masak, tos dan ketepikan dahulu.
  • Tumbuk cili api dan kunyit hidup.
  • Masukkan siput sedut yang telah dibersihkan bersama bahan tumbuk, serai di ketuk, asam keping, garam bukit kasar dan santan segar. Saya guna 2 bungkus santan segar.
  • Hidupkan api dapur perlahan dan kacau-kacau bagi santan tu elok jangan sampai pecah minyak dan berketul-ketul. Lama sikit nak mengacau ni. Tapi kadang saya biarkan je dulu dan nak masak tu barulah rajin mengacau sampai elok santannya.
  • Bila dah masak tu bolehlah masukkan keladi dah siap rebus tadi tu dan kacau rata. Biarkan seketika bagi sebati dengan kuahnya.

Mudah nak masak siput sedut masak lemak cili api ni. Yang buat susahnya nak memotong bawah tu ambil masa sikit. Tapi sangat berbaloilah dapat makan siput sedut segar dan besar ni masak lemak cili api campur keladi ikut selera sendiri. 

Dapat makan kuah pekat sikit dan pedas sikit. Kami kan orang Johor dan Nismilan yang pempedas. Kena pedas sikit baru sodap! Bahan-bahan pula ditumbuk dengan kasih sayang. Mabelesss rasa dia.


Resipi Siput Sedut Masak Lemak Cili Api Campur Keladi

Masak sendiri juga puas hati dapat makan lebih. Lambat lah sikit makan tengah hari hari tu disebabkan siput sedut sibuk bergambar. Ehhh...
 
Gambar Siput Sedut Masak Lemak Cili Api Campur Keladi

Alhamdulillah..kadang rezeki tu datang tanpa disangka. Dia datang lambat sebab nak bagi kita yang terbaik. Orang yang sabar pasti akan dapat yang terbaik dengan izin Allah. 

Okay, dah habis rasa teringin makan siput sedut masak lemak cili api campur keladi. Boleh beralih ke menu lain pula.