Istighfar : Bacaan, Maksud Serta Kelebihan Istighfar Terutamanya Pada Hari Jumaat

Istighfar lazimnya kita ungkapkan sebagai zikir untuk memohon keampunan kepada Allah SWT. Secara automatiknya kita akan melafazkan istighfar selepas kita tersedar melakukan dosa dengan harapan agar Allah ampunkan dosa kita.

Maksud lain istighfar adalah memohon keampunan dan penghapusan dosa serta berlindung daripada kejahatan. 

Firman Allah SWT :
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. – Surah Ali Imran, ayat 133
Maksud Istighfar Serta Kelebihan Istighfar Pada Hari Jumaat

Istighfar juga bermaksud, "memohon maghfirah". Bila kita sebut, “Astaghfirullahal ‘azim”, maknanya ialah “Aku memohon maghfirah daripada yang Maha Agung”. Bermakna, setiap kali kita beristighfar, sebenarnya, kita sedang meminta Allah untuk berikan kita ‘maghfirah’.

Apakah maksud ‘maghfirah’? 
Maghfirah (مغفــرة) diambil daripada perkataan ‘mighfar’ yang bermaksud penutup kepala yang digunakan oleh seorang tentera. Senang cakap, maksud ‘mighfar’ ialah perisai kepala.

Apa pula kaitannya perisai kepala ni dengan ‘memohon maghfirah’?
Seperti mana yang kita tahu, fungsi perisai ni ada dua. Pertama, untuk menutup kepala kita (ســتر) dan kedua adalah untuk mencegah (الوقايــة) serangan yang akan terkena kepalanya.

Senang cakap, tujuan kita pakai perisai kepala ketika perang adalah supaya wajah kita dilindungi, juga untuk mencegah daripada segala serangan yang bakal datang sama ada pedang, pistol dan sebagainya.

Maka, sebenarnya, apabila kita beristighfar & memohon ‘maghfirah’ daripada Allah, hakikatnya kita sedang memohon 2 perkara daripada Allah. Pertama, kita mohon agar Allah TUTUP AIB kita. Kedua, kita mohon agar Allah cegah dan jauhi kita daripada segala KESAN DOSA yg kita lakukan.

Maksudnya, setiap kali kita sebut, “Astaghfirullahal ‘azim”, kita sebenarnya, kita sedang minta, “Aku memohon kepadaMu, ya Allah agar aibku ditutup dan dilindungi daripada segala kesan dosa yang aku lakukan...” Itulah maksud sebenar istighfar

Namun, kelebihan istighfar itu ada banyak keutamaan lain jika diamalkan. Ketika kita pernah melalui hari yang sukar seperti ahli keluarga sakit, kenderaan rosak, dibebani hutang, kesempitan duit dan sebagainya. Sudah pasti emosi akan terganggu.

Penyelesaiannya adalah dengan beristighfar dapat menyejukkan hati. Ujian yang Allah datangkan kepada kita untuk menjadi seorang yang lebih kuat. 

Adakah kita menjadi seorang suka mengeluh bila ditimpa masalah atau berusaha mencari jalan penyelesaian?

Allah dah susun cantik bahagian rezeki masing-masing, akan tetapi ia tetap memerlukan kita untuk lebih berusaha dan bersungguh-sungguh mencapai apa yang dihajatkan termasuk melakukan amalan yang boleh membuka pintu rezeki.

Sebagai hamba kepada Sang Pencipta, hidup seolah olah tidak lengkap seandainya kita tidak beristighfar kepada-NYA.

Ya, itulah sepatutnya yang dilakukan oleh seorang hamba. Tiada perkara yang lebih baik untuk dilakukan selain beristighfar memohon keampunan-NYA daripada dosa-dosa yang telah dilakukan.

Syarat-syarat Istighfar

1. Niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah
Ketahuilah bahawa ALLAH SWT tidak akan menerima amal perbuatan seseorang manusia itu kecuali jika ia dilakukan ikhlas dan semata-mata untuk-NYA.

2. Hati dan lidah serentak beristighfar
Kedua-dua hati dan lidah perlu bergerak seiring, barulah mencapai matlamat yang sama. Bayangkan jika hanya lidah sahaja yang beristighfar, sementelah hati pula berbolak-balik ingin kembali melakukan maksiat, memang kita tidak akan ke mana-mana. Malah, perbuatan itu seolah-olah memperlihatkan kita sedang mempersendakan ALLAH SWT.

3. Jaga adab beristighfar
Pertama sekali, sebelum memohon keampunan kepada ALLAH, pastikan diri dalam keadaan suci dan sempurna. Ia merupakan perkara paling penting terutama dalam setiap ibadah yang hendak dikerjakan. Seperkara lagi, antara adab berkenaan adalah pilihlah waktu yang utama iaitu sebelum menjelangnya subuh. Itu adalah waktu afdal untuk kita beristighfar. 

Bagaimana pula dengan kelebihan beristighfar pada hari Jumaat?

Kelebihan Istighfar Pada Hari Jumaat

Kelebihan Istighfar menurut Mufti Wilayah

Soalan : 
Apakah terdapat hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan istighfar pada hari Jumaat?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam kehidupan kita, kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan. Ini kerana, Nabi SAW yang diketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tidak pernah meninggalkan istighfar ini. 

Hadis kelebihan istighfar

Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya :
Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali. – Riwayat al-Bukhari (6307)

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang biasa dijadikan dalil dalam menceritakan berkaitan kelebihan istighfar pada hari Jumaat iaitu:

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya : 
Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” – Riwayat Ibn al-Sunni (83)

Antara ulama yang menilai status hadith ini ialah Imam al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau mengatakan bahawa hadith ini adalah gharib dan sanadnya terlalu dhaif. Selain itu, Imam al-Nawawi ada menukilkan hadith ini di dalam kitabnya al-Azkar dengan sighah tamridh yang menunjukkan bahawa hadith tersebut adalah dhaif.

Di samping itu juga, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif. Walaupun hadith tersebut dinilai dhaif, tetapi terdapat banyak dalil yang bersifat umum menuntut untuk kita memperbanyakkan istighfar dalam setiap masa dan keadaan. Adapun berkaitan makna seperti buih-buih lautan adalah kinayah banyaknya dosa dan dosa-dosa yang diampunkan ini adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT. [Lihat : al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 143/2]

Imam al-Nawawi menyatakan disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. –  al-Azkar, 85

Tambahan pula, istighfar mempunyai banyak kelebihan sebagaimana yang riwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. – Riwayat Abu Daud (1518) [Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh : Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi]

Kesimpulan
Istighfar sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita.

Berhentilah berdolak-dalih dengan pelbagai alasan untuk kembali kepada Tuhan sedangkan istighfar boleh dilakukan di mana sahaja dengan lafaz yang paling mudah. Lazimi istighfar ketika senang, mudahan istighfar menjadi asbab bantuan ketika susah.

Banyak kemanisan, ganjaran dan kelebihan istighfar. Maka rugilah jika kita tidak mengejar segala kebaikan ini untuk pelaburan dunia dan keuntungan akhirat.

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Aaamiin...

Wallahua’lam...

Bacaan istighfar serta maksudnya

1. Istighfar pendek
Bacaan istighfar pendek ini dibaca oleh Nabi Muhammad SAW sebanyak tiga kali setelah solat. Bacaannya istighfar pendek :
استغفرالله
"Astaghfirullah"
Maksudnya : Aku memohon ampun kepada Allah.

Ada juga yang belakangnya ditambah beberapa kata:
اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ
"Astaghfirullahal ‘adzhiim"
Maksudnya : Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung.

2. Istighfar Nabi Muhammad SAW sebelum wafat 
‏سبحان الله وبحمده، أستغفر الله، وأتوب إليه
"Subhanallahi wabihamdih, astaghfirullaha wa atuubu ilaih"
Maksudnya: Maha suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Aku memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya 

3. Istighfar penghapus dosa 
أستغفر الله الذي لا إله إلا هو الحي القيوم وأتوب إليه
Astaghfirullah, alladzi la ilaha illa huwal hayyul qayyumu wa atuubu ilaih” 
Maksudnya: Aku memohon ampun kepada Allah, Dzat yang tidak ada sesembahan kecuali Dia. Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri sendiri. Dan aku Bertaubat kepada-Nya. 

4. Istighfar meminta ampun dan taubat
رَبِّ اغْفِرْ لِى وَتُبْ عَلَىَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Rabbighfirli wa tub ‘alaiya, innaka antat tawwabur rahiim” 
Maksudnya : Ya Tuhan ampunilah dan sayangilah aku dan terimalah taubatku , sesungguhnya Engkau Maha penerima Taubat dan Maha Penyayang (HR Abu Daud)

5. Istighfar sebelum salam dalam solat
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظَلَمْتُ كَثِيْرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Allahumma inni dhalamtu nafsi dhulman katsira, wala yaghfirudz dzunub illa anta, faghfirluu maghfiratan min indik, warhamnii innaka antal ghafurur rahiim” 

Maksudnya :Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisiMu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


 6. Istighfar Nabi Adam 
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Robbana dholamna anfusana, wa illam taghfir lana wa tarhamna lanakuunanna minal khasirin” 

Maksudnya : Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi

 7. Doa sayyidul istighfar 
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، اغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ
Allahumma anta Rabbi, la ilaha illa anta, Khalaqtani wa ana abduka, wa ana ‘ala ahdika wa wa’dika, mas tatha’tu, audzu bika min syarri ma shana’tu, abu’u laka bi ni’matika wa abu’u laka bi dzanbi. Faghfir li, fainnahu la yaghfirudz dzunuba illa anta” 

Maksudnya : Ya Allah Engkau Tuhanku, tidak ada tuhan selain Engkau , Engkaulah yang menjadikan aku , dan aku adalah hamba-Mu, aku akan selalu menepati janji-Mu sekemampuan-Ku, aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang aku perbuat. Aku kembali kepada-Mu dengan nikmat yang telah Engkau berikan. Aku kembali kepada-Mu dengan dosa, maka mapunilah aku, sesungguhnya tidak ada yang bisa mengampuni dosa kecuali Engkau.

Sumber :
1. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3506-irsyad-al-hadith-siri-ke-385-kelebihan-istighfar-pada-pagi-hari-jumaat
2. https://www.facebook.com/jainjohor/posts/kelebihan-istighfarkita-semua-pasti-pernah-mengalami-hari-yang-sukar-kereta-rosa/3043768665952563/
3. https://twitter.com/adninroslan/status/1228308495126020096

12 comments:

  1. alhamdulillah... zikir ni mmg sy amalkan. 1000x setiap hari. ikut saranan guru sy. katanya kalau nak permudahkan urusan harian baca je zikir ni 1000x...

    ReplyDelete
  2. Baru tahu makna maghfirah ialah perisa kepala atau pelindung daripada kesan dosa. Tq kongsi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya berkongsi daripada link yang saya sertakan tu kak Wina. Sama sama :)

      Delete
  3. lagi kurang dosa lgi mudh rezeki mahu masuk...masalahnya sebagai manusia biasa.....suka sangat untuk berbuat dosa

    ReplyDelete
  4. Perkongsian yang sangat bagus ni Fizah.
    Alhamdulillah, hidup berpesan-pesan di antara satu sama lain agar kita terus berada di atas landasan yang betul.

    ReplyDelete

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.