Header Ads

Cara Hilangkan Kotoran Dan Kesan Kuning Pada Baju Putih


Cara nak hilangkan kotoran pada baju putih senang je rupanya lebih senang kalau guna sabun mandi yang diparut. Rendam je dengan sabun mandi yang dah diparut tu beberapa jam dalam mesin basuh, lepas tu on je mesin basuh. Memang hilang putih bersih bahagian kolar dan lengan baju yang berlipat tu.

Sebelum ni encik suami bawa lab coat balik rumah, sental dengan sabun buku mandi tu. Pun hilang juga tapi sakit tanganlah sikit sebab kena gigih juga nak menyental tu. Alang alang nak basuh cadar putih dan fabrik putih yang lain, gigih juga lah saya parut sabun mandi untuk menyenangkan penggunaan akan datang.

Saya tengok ramai yang guna cara macam ni untuk basuh baju sekolah. Jadi, saya pun cubalah juga. Tak cuba tak tahu kan. Saya beli sabun fruitale bauan strawberry warna merah jambu.

cara nak hilangkan kotoran baju putih

Ternyata berkesan sekali. Seperti magis, hilang terus kesan kotoran pada kolar lab coat. 

cara nak hilangkan kotoran baju putih

Yang tak menjadinya untuk hilangkan kesan kuning yang lama pada baju putih. Payah betul nak hilangnya. Pernah guna cara hilangkan kotoran kuning pada baju putih dengan cara rendam dengan cuka, lemon dan air panas. Tak menjadi pulak. 

Mungkin nanti boleh cuba cara yang lain seperti dibawah.

8 Cara hilangkan kesan kuning pada baju/fabrik lama dengan menggunakan bahan semulajadi di rumah

1. Cuka putih dan garam
Campurkan setengah cawan cuka putih bersama setengah cawan garam di dalam besen. Letakkan pakaian ke dalam besen dan gosokkan pakaian di dalam besen tersebut selama lebih kurang 30 minit. Kemudian, bilas seperti biasa menggunakan sabun.

Jika kesan kotoran sikit, boleh hilangkan dengan membuat pes campuran kedua-dua bahan seperti di bawah dan gosokkan pada bahagian fabrik yang terkena kotoran.

2. Ubat gigi
Ubat gigi boleh digunakan secara terus pada fabrik menghilangkan kuning pada baju dan menjadikan warna pakaian menjadi lebih cerah. Sebaiknya, gunakan ubat gigi jenis biasa, bukan jenis gel.

Cara : Sapukan ubat gigi pada bahagian yang terdapat kesan kekuningan. Kemudian gosok dengan menggunakan berus gigi yang tidak digunakan. Beberapa ketika kemudian, warna kuning tersebut akan hilang. Bilaskan pakaian seperti biasa untuk menghilangkan kesan ubat gigi tersebut.

Selain kesan kekuningan, ubat gigi juga berkesan untuk menanggalkan kesan kotoran lain seperti lipstick, sos, dan kopi.

3. Jus lemon
Asid yang terkandung dalam jus lemon bertindak sebagai bahan peluntur semulajadi yang membantu menanggalkan dan menghilangkan kesan kuning pada baju serta fabrik.

Cara : Perahkan sebiji lemon pada bahagian yang terkena kesan kotoran. Kemudian, jemurkan pakaian tersebut di bawah sinaran matahari sehingga kering.

Setelah itu, cuci pakaian tersebut seperti biasa sama ada menggunakan cucian tangan mahupun mesin basuh. Kesan kuning akan hilang.

Atau dengan cara
Rendamkan baju di dalam baldi dengan air bersih. Pastikan baju terendam sepenuhnya. Ambil 1-2 biji lemon (keperluan lemon bergantung kepada kuantiti baju) dan perahkan ke dalam rendaman tadi.

Selesai perah, masukkan juga lemon tersebut ke dalam rendaman dan kacau rata. Rendam selama 10 minit sahaja. Jangan lebih tau. Kemudian, lakukan cucian seperti biasa.

4. Pes atau cecair pencuci pinggan
Untuk menghilangkan kesan sambal pada baju, boleh cuba gunakan pes atau pencuci pinggan terus pada kotoran tersebut. Hanya perlu sapu pes pada bahagian yang terkena sambal tadi dan biarkan 15-20 minit. 

Selepas itu, cuci seperti biasa.

5. Baking Soda
Selain digunakan sebagai bahan masakan, baking soda juga berfungsi sebagai agen pencuci semulajadi yang berkesan menanggalkan bau dan kotoran secara semulajadi.

Cara : Ambil sedikit baking soda dan campurkan dengan sedikit air. Kacau sehingga menjadi pes. Gosokkan pes tersebut pada baju dan bilas seperti biasa.

Untuk lebih berkesan, boleh juga menggunakan jus lemon yang dicampur dengan baking soda atau garam. Pes ini juga berkesan menghilangkan kesan deodoran yang melekat pada bahagian ketiak baju.

6. Sabun mandi
Sabun mandi jenis pepejal sangat berkesan untuk menanggalkan kotoran dengan mudah, termasuklah kesan kuning pada baju. Boleh guna sabun pelbagai jenama seperti Fruitale, lux, sabun cap kapak, cap buruh dan lain lain jenama. 

Cara : Gosokkan saja ketulan sabun ini pada baju dan gosokkan dengan berus. Bilas seperti biasa. Kalau masih belum tanggal, parutkan sedikit sabun tersebut ke dalam besen berisi air. Tambahkan sedikit baking powder atau cuka pun boleh. Rendamkan selama 1-2 jam dan bilas.

7. Denture Tablet
Menurut Reader’s Digest, Denture tablet mempunyai banyak kegunaan lain seperti mencuci coffee maker, termos, kaca, cincin berlian, pasu, tandas, dan pinggan mangkuk enamel.

Denture tablet adalah bahan pencuci dalam bentuk tablet untuk gigi palsu. Banyak dijual di farmasi dan bahan ini amat berkesan mencuci dan menghilangkan kotoran degil pada pelbagai permukaan, termasuklah fabrik.

Cara : ambil 2 tablet pencuci ini dan larutkan ke dalam satu besen air. Rendamkan pakaian dalam larutan ini selama 8-12 jam. Cuci dan bilas seperti biasa dan kesan kekuningan tadi akan hilang sepenuhnya.

8. Peluntur Varnish
Terpaling mudah gunakan serbuk atau cecair Vanish yang mudah didapati di pasaran. Sesuai digunakan pada pakaian putih mahupun yang berwarna.

Cara : Sapukan Vanish pada bahagian fabrik yang mempunyai kesan kuning. Biarkan seketika sekitar 5-10 minit. Kemudian, beruskan sedikit dan bilas. Selepas itu, cuci seperti biasa dengan sabun pencuci.

9. Keringkan di bawah matahari terik
Setelah membersihkan dan siap mencuci baju, jemurkan pakaian di bawah sinar Ultraviolet yang dipancarkan matahari. Ini adalah cara memutihkan baju putih yang mudah, percuma dan tersedia sepanjang tahun di negara kita Malaysia.

8 Cara hilangkan kotoran degil pada baju mengikut jenis kotoran

1. Daki
Kesan daki yang melekat pada kolar baju sekolah, baju kerja, uniform dan sebagainya sememangnya sakit mata bila melihatanya. Boleh gunakan cara mudah untuk membersihkannya.

Cara : Tuangkan sedikit syampu tak kisah jenama apa pun dan gosokkan bahagian kolar baju. Kemudian, bilas dan cuci baju seperti biasa. Untuk lebih jimat, gunakan syampu percuma yang diambil semasa menginap di hotel. Walaupun kurang sesuai untuk rambut tapi berkesan untuk cucian fabrik.

2. Darah
Sekiranya ada kesan darah yang melekat pada fabrik, boleh hilangkan kesan darah tersebut dengan cara dibawah.

Cara : Basahkan bahagian yang terkena darah dan taburkan dengan sedikit garam. Kemudian, gosokkan bahagian tersebut dan kesan darah akan mula tertanggal. 

Ulangi langkah yang sama beberapa kali sehingga kesan darah hilang. Kemudian cuci pakaian seperti biasa menggunakan sabun pencuci.

3. Dakwat
Kesan dakwat yanag terkena pada fabrik akan mencacatkan kecantikan fabrik tersebut. Jika ada kesan dakwat, boleh menggunakan beberapa cara untuk menanggalkannya.

Cara : 
Pertama, ambil sedikit susu dan tuangkan ke atas kesan dakwat. Biarkan ia terendam seketika dan gunakan span untuk menggosoknya perlahan-lahan.

Cara kedua, boleh menggunakan hairspray dengan menyemburkannya pada kesan tersebut. Biarkan beberapa ketika dan gosokkan dengan kain atau tisu bersih. Ulangi proses yang sama hingga kesan dakwat hilang.

4. Kesan deodoran
Cuka akan membantu melembutkan pakaian sekaligus bertindak sebagai agen penghilang kesan deodoran yang kekuningan dan sedikit keras.

Cara : Celupkan berus gigi terpakai dalam larutan cuka putih dan gosokkan kesan deodoran pada bawah lengan pakaian.

Jika pakaian berwarna gelap, taburkan baking soda pada kesan deodoran sebelum menggunakan cuka seperti langkah di atas.

Kemudian, bilas pakaian dalam air hangat atau panas, sesuai dengan suhu tertinggi yang masih sesuai untuk jenis fabrik pakaian.

5. Tanah/ lumpur
Kesan lumpur jika digosok semasa basah akan menyebabkan kotoran semakin merebak. Jika terkena kesan tanah atau lumpur biarkan kering terlebih dahulu. Kemudian, tanggalkan sebanyak mana lumpur kering tersebut.

Cuci kesan selebihnya menggunakan sabun pencuci biasa dan bilas. Jika masih ada kesan kotoran, boleh cuba menggunakan sedikit cuka dalam cucian.

Jika terdapat kesan rumput,  boleh membersihkannya menggunakan pes ubat gigi  yang bukan jenis geldan menggosoknya. Kemudian, bilas seperti biasa.

6. Minyak hitam/ gris
Untuk menanggalkan kesan minyak hitam yang terlekat pada pakaian, mula-mula gunakan tisu untuk menyerap seberapa banyak kesan yang boleh.

Kemudian, taburkan sedikit tepung jagung atau bedak bayi di atas kesan tersebut. Biarkan seketika dan tanggalkannya semula (secara kering). 

Kemudian, titiskan beberapa titik sabun pencuci pinggan mangkuk ke atasnya dan beruskan hingga kesan minyak tanggal sepenuhnya.

7. Gula getah
Jika gula getah melakat pada pakaian, mula-mula cuba sejukkan pakaian tersebut sama ada dengan meletakkan ais pada kawasan tersebut atau meletakkan pakaian tersebut ke dalam freezer (bungkus guna plastik yang bersih). 

Bila gula getah menjadi keras, boleh tnggalkan gula-gula getah dengan mudah tanpa meninggalkan kesan pun!

8. Kotoran makeup pada tudung
Jika kerap pakai makeup dan berpeluh akan menyebabkan bahagian tudung di muka akan menyerap peluh dan meninggalkan kesan kotoran. Dah nampak macam tompok tompok basah di bahagian muka tudung. 

Caranya sama macam menghilangkan minyak hitam. Cara saya, taburkan bedak bayi secara merata di bahagian kotoran. Titiskan pencuci pinggan kemudian gosok perlahan dan bilas.

Sumber : siraplimau 

24 comments:

  1. ye fiza nak basuh uniform sekolah anak memang sabun ni lah yang diguna berkesan sungguh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berkesan dan paling penting mudahkan kerja daripada menyental.

      Delete
  2. Pernah cuba sental baju kotor dengan sabun mandi buku tu, kalau sikit memang berkesan terus hilang. Lepas ni bolehlah ikut cara Fiza tunjuk ni, parut dan rendamkan dulu untuk kotoran yang banyak.

    Terima kasih Fiza kongsikan cara2 yang lain jugak. Sangat berguna.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sikit sikit okay lagi kak. Kalau banyak jenuh nak sental. hihi..Nak mudah boleh guna kaedah parut, rendam dan tekan je button mesin basuh. Siap!
      Sama² kak :)

      Delete
  3. Menarik cara hilangkan kesan dakwat. Saya selalu guna bedak untuk hilangkan kesan karat pada baju putih. So far berkesan, macam kita cuci kesan minyak. Thanks for sharing

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh cuba Sal kalau terkena dakwat. Bedak tu berguna sangat kan Sal. Bagus beli buat stok.
      Sama² Sal.

      Delete
  4. terima kasih tips nya kak.

    sy memang suka guna sabun buku tu, mak kata kalau nak hilangkan kotoran pada pakaian putih gosok dulu dengan sabun mandi. sampai harini sy buat.

    sebelum ni ada 2 baju putih saya rosak . turun warna. hahhaa. sy cuba la tips guna cuka la lemon la, baking soda la. sudahnya bau kulit lemon je. warna kekal ada. geram betul

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama². Sabun tu kira wajib ada kat rumah kan untuk hilangkan kesan kotoran pada baju. Turun warna tu sayangnya kan. Kalau baru pakai sekali lagilah sedih. A'ah kadang ada tak berkesan juga. Tapi tak salah mencuba.

      Delete
  5. Nak cuba jugaklah. Geram betul tengok kolar baju tak nak hilang kotornya. Nak nyental malas, hahaha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tu yang sakit mata tengok tu. Nak sental memang malas. Kita guna cara paling memudahkan dan berkesan. hihi...

      Delete
  6. Ooo.... kena parut ye Fizah. Nanti nak cuba, sebab baju sekolah Firdaus tu kalau kotor dah rupa masuk selut terutama bahagian pergelangan tangan (baju kemeja lengan panjang), dan bahagian leher.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ye kak Amie. Mudah nak larut bila rendam tu, nak membasuh pun mudah. Bolehlah tu cuba nanti kak Amie.

      Delete
  7. Ehhh, nice tips lah!! Thanks share.. nak save.. senang nanti refer sini semula... Huhhu

    ReplyDelete
  8. Bagus tips ni. Dulu guna juga cara ni masa anak-anak pakai uniform putih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ramai ibu ibu guna cara ni. Memang berkesan sangat guna sabun mandi ni kan.

      Delete
  9. tang kolar, lutut baju melayu sekolah anak-anak memang ammi sental dengan sabun mandi. Kalau ammi malas ammi suruh je budak2 ni sendiri yang sental..baru ada akal

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha..sendiri kotorkan sendiri cuci gitu kaedahnya...bijak Ammi.

      Delete
  10. nak cuba lah tips untuk tanggalkan gula-gula getah tu. mudah je rupanya nak tanggalkan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh cuba nanti. Kena keraskan dulu baru senang nak tanggalkan.

      Delete
  11. Kalau basuh baju putih memang ccl akan rendan dulu baju bersama sabun mandi atau pun sabun kuning yg dibeli di eco .. Memang bersih terus .. Kualiti warna pun trjaga .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sangat berkesan kan. Bagus juga ada sabun mandi yang boleh pakai untuk basuh baju juga.

      Delete

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri. Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan. Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun, soalan yang jawapannya terang lagi bersuluh ada dalam entri, atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan. Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum.

Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.