Gadgets

Salam Nuzul Al-Quran 2023M/1444H : Maksud, Peristiwa dan Pengajaran Peristiwa Nuzul Al-Quran

Salam Nuzul Al-Quran 2023M/1444H. Selamat menyambut Nuzul Al-Quran. Pada tahun ini, Nuzul Al-Quran pada hari Sabtu, 8 April 2023 bersamaan 17 Ramadhan 1444H. Nuzul Al-Quran merupakan salah satu peristiwa penting dalam Islam dan tarikh penting kepada umat Islam seluruh dunia untuk memperingatinya.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda antara yang benar dan yang batil.— Al-Baqarah : 185

Sambutan Hari Nuzul Al-Quran adalah cuti umum di Malaysia untuk semua Negeri kecuali Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.


Salam Nuzul Al-Quran 2023M 1444H

Peristiwa Nuzul Al-Quran

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada 17 Ramadhan, merupakan tarikh penting kepada umat Islam seluruh dunia untuk memperingatinya.

Peristiwa Nuzul Al-Quran adalah peristiwa bersejarah dimana turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. 

Turunnya Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan bersamaan dengan tarikh 6 Ogos 610M iaitu tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira'.
  • 17 Ramadan : Wahyu Allah SWT diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril AS. Malaikat Jibril memeluk dan merangkul baginda dengan kuat serta berkata : Iqra, yang bermaksud (bacalah)
  • 6 Kilometer Dari Mekah : Iaitu, lokasi gua hira, Jabal Nir di mana Al - Quran mula diturunkan.
  • 23 Tahun : Maksudnya, 23 tahun tempoh Al - Quran diturunkan secara beransur - ansur
  • 41 Tahun : Maksudnya, usia Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Nuzul Quran

Maksud Nuzul Al-Quran

Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bermaksud menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. 

Penggunaan istilah Nuzul Al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian Al-Quran.

Nuzul Al-Quran bermaksud penurunan Al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Al-Quran pula merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang menjadi panduan kepada seluruh umat Islam sehingga kini. 

Maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang benar-benar memikirkan rahsia Al-Quran.

Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Firman Allah SWT :

بِسْمِ ٱللَّـهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, – (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5).” —Surah Al-Alaq (96) : Ayat 1-5
Iqra, yang membawa maksud bacalah. Dalam huraian lima ayat pertama yang diturunkan menyeru agar sentiasa membaca kitab suci Al - Quran, kerana selain daripada kelebihannya, ia juga merupakan kitab yang syumul (lengkap) dan sebagai panduan hidup kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Nikmatnya pada bulan Ramadhan , Allah SWT memberikan kelebihan dan ganjaran yang besar kerana ia bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. 

Allah SWT telah memilih bulan Ramadhan untuk beberapa peristiwa besar seperti peristiwa penurunan Al-Quran (nuzul Al-Quran), pembukaan kota Mekah (Fath Makkah), pembukaan kota Andalusia dan lain-lain. 

Disamping itu juga, Allah SWT telah mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam Al-Qadr (Lailatul Qadar)

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: Malam Al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
(Surah Al-Qadr: 3)

Ringkasan pengajaran peristiwa Nuzul Al-Quran

1. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW dan panduan hidup bagi umat Islam sepanjang zaman.
2. Al-Quran menjadi rujukan dan penawar diri bagi umat Islam yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
3. Kandungan ajaran al-Quran adalah bersifat mukjizat (I'jaz al- 'Ilmi) sehingga merentasi zaman dan tempat sekali pun telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu.

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala yang besar."—Surah al-Isra': 9

sumber:
1. https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1808-nuzul-al-quran-dan-perpaduan-ummah
2. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/3455-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-152-kenapakah-pahala-amalan-digandakan-pada-bulan-ramadhan
3. https://mt961013.livejournal.com/1386565.html


2 comments:

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.