Zakat Fitrah

Wednesday, July 16, 2014

Zakat Fitrah merupakan kewajipan fardhu ain ke atas setiap orang Islam. Kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan ini bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Inilah di antara keindahan Islam di sebalik pensyariatan sesuatu ibadah kepada umat Islam. Sesungguhnya peranan zakat dalam membina sosio ekonomi dan sosial masyarakat Islam amatlah penting dan mesti dihayati sepenuhnya oleh setiap muslim.

Zakat dari segi bahasa bermaksud bersih, suci, subur dan berkembang. Zakat Fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadhan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Fadhilat Mengeluarkan Zakat Fitrah
1. Menampung kekurangan semasa berpuasa.

Maksudnya : Berkata Waki’ bin al Jarah : Zakat Fitrah di dalam bulan Ramadhan seperti sujud sahwi di dalam solat, menampung kekurangan berpuasa sebagaimana sujud sahwi menampung kekurangan dalam sembahyang.

2. Membantu fakir dan miskin pada Hari Raya.

Maksudnya : Daripada Ibn Umar, bersabda Rasulullah s.a.w : Kayakanlah mereka (fakir miskin) daripada meminta-minta pada hari ini (Hari Raya).

Syarat- Syarat Wajib Zakat Fitrah

1. Islam dan merdeka.
2. Mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya pada hari raya dan malamnya.
3. Wajib Zakat Fitrah ialah apabila terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Sehubungan itu tidak wajib zakat Fitrah ke atas orang-orang berikut:
1. Orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan.
2. Anak yang lahir selepas terbenam akhir Ramadhan.
3. Orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan.
4. Tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

1. Waktu Harus – iaitu bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.
2. Waktu Wajib – iaitu selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
3. Waktu Afdhal – iaitu selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan
sembahyang sunat Aidil Fitri.
4. Waktu Makruh – iaitu selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.
5. Waktu Haram – iaitu selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.

Jenis Dan Kadar Bayaran Zakat Fitrah

1. Jenis zakat yang dikeluarkan ialah berdasarkan makanan asasi sesebuah negeri seperti beras.
2. Kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram).
3. Nilai bagi kadar ini adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri.

Kadar zakat fitrah 2014M/1435H bagi negeri seluruh Malaysia

Negeri
Kadar Zakat Fitrah
Kelantan
RM7.00
Terengganu
RM4.50, RM7.00 & RM7.60*
Pahang
RM7.00
Perlis
RM6.50
Kedah
RM7.00
Pulau Pinang
RM7.00
Perak
RM7.00
Selangor
RM7.00
Negeri Sembilan
RM6.50
Melaka
RM6.70
Johor
RM5.00 & RM8.00*
Sarawak
RM7.00
Sabah 
RM7.00
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya and Labuan
RM7.00
*Untuk Johor dan Terengganu, kadar berbeza mengikut gred beras.
Bagi negeri-negeri yang belum diketahui kadarnya, kadar zakat fitrah akan dikemaskini bila ia diumumkan kelak.

Lafaz Akad Zakat Fitrah

1. Lafaz untuk diri sendiri:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

2. Lafaz untuk diri sendiri dan tanggungan:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

3. Lafaz bagi pihak:
Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas pihak yang aku wakili …… pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.

Tahun ni zakat fitrah husband bayarkan sebab dah bawah tanggungan husband. Alhamdulillah zakat fitrah telah ditunaikan. Bagi yang belum tu jangan lupa bayar ye.

credit : source

14 comments

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri. Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan. Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun, soalan yang jawapannya terang lagi bersuluh ada dalam entri, atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan. Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum.

Sekian Terima kasih.