Pertama kali tengok buah keranji di Pekan Sehari Temerloh. Disebabkan dia rare, saya pun belilah nak rasa. Saya fikir buah ni perlu direbus, rupanya tak ye. Boleh terus makan je. Saya beli RM5 sebekas. Kebanyakkan makanan di Pekan Sehari ni RM5 ek.

Teringat pula pantun buah keranji yang popular.

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Suruh makan saya makan,
Suruh mengaji saya mahu.

Buah Keranji

Buah keranji ialah sejenis buah hutan nadir (kawasan hutan yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan liar atau buah-buahan nadir yang jarang ditemui, sukar didapati dan tidak ditanam secara komersial) yang berasal daripada pokok kayu besar daripada keluarga Fabaceae iaitu spesies utama Dialium indum.

Buah keranji juga sejenis buah yang bermusim dan sukar ditemui. Tapi berbuah lebat dalam jangka masa yang lama.

Buah Keranji

Bentuk dan saiz

Buah keranji bersaiz kecil, berbentuk bulat dan sedikit lonjong. Memiliki kulit keras berwarna hitam arang, ada kalanya warna perang.

Rasa

Isinya berwarna oren, bertekstur sedikit kering. Rasa buah keranji masam-masam manis macam buah asam jawa. Bijinya pun lebih kurang asam jawa tapi versi kecil.

Cara makan

Pecahkan kulit kerasnya hanya dengan perlu memicit sedikit secara perlahan. Kulit dia mudah pecah dan rapuh. Makan dengan cara kemam dan pisahkan isi daripada bijinya.

Ralit makan buah keranji ni sebab dia saiz dia comel dan isinya pun sedikit. Kena makan banyak-banyak baru puas dinikmati. Beberapa hari jugalah saya makan nak bagi habiskan. 

Nasib baik beli sikit je sebab saya makan seorang je. Encik Suami tak suka makan buah-buah rare macam ni. Suruh rasa pun tak nak. Makanya, kita hadaplah sendirian.