Gadgets

Koleksi Sajak Kemerdekaan Malaysia Terbaik Oleh Sasterawan Negara

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan/ Kemerdekaan negara kita Malaysia pada 31 Ogos 2023 nanti, bersamalah kita menyemarakkan bulan Kemerdekaan tanda cintakan tanah air kita, Tanah Tumpahnya Darahku seperti yang kita ungkapkan dalam lagu Negaraku.

Koleksi Sajak Kemerdekaan Malaysia Terbaik Oleh Sasterawan

Semarakkan dan hayati Hari kemenangan buat negara Malaysia yang juga merupakan hari yang bersejarah dengan sajak Kemerdekaan Terbaik yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh sasterawan negara yang mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat. 

Koleksi Sajak Kemerdekaan Malaysia Terbaik Oleh Sasterawan

Sajak yang sesuai dideklamasikan sempena Hari Merdeka supaya dapat  menjadi inspirasi buat semua rakyat Malaysia. Antaranya sajak karya A. Samad Said, Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Aziz Deraman, Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail dan ramai lagi. 

baca juga

ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

A. Samad Said
Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

HIDUP BERSAMA

A. Samad Said
Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian.

ERTI KEMERDEKAAN

A. Samad Said
Kita mencari hanya yang tulen dan jati
sekadar hidup mengerti dan berbudi
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama

tanah air memberi banyak
mesra mendakap kita
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti
dan dalam alaf baru
semangat kita wajar padu berjalan kita
atas nama tanah air dan bangsa
bangga kerana merdeka
megah kerana bahagia.

PADA TANAH YANG INDAH

A. Samad Said, 1956
Dalam mata yang bersih merayap cahaya jernih
aku sama menagih kemerdekaan kekasih,
dalam dada yang mesra tenang telaga cinta
aku janji setia membela tanah pusaka.

Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah
setapak tiada kurela untuk melutut kecewa,
biar peluru selaksa mendendam liar mangsanya
untuk kekasih pusaka hatiku tetap rela.

Dalam lari berlari berbaja kasih di hati
azam besi berumbi: melebur penjajah di bumi!
Dalam rindu berpadu, hitam dendam terpendam
aku terlalu merindu fajar cemerlang menjelang.

Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh
beri janji yang teguh hingga badanku luluh!

PERTAMA DAN TERAKHIR

A. Samad Said, Mastika April 1957
Jauh kita berjalan
mendukung semua kepercayaan
pertama dan terakhir
sekarang kita sampai
ke puncak tiada tercapai
keazaman pantang cair

Kita bersua hati
mengisi setiap janji
pertama dan terakhir
tiada hari kiranya
hingga bernanah dada
sumpah tiada termungkir

Gemuruh kita bersorak
bumi dan langit retak
pertama dan terakhir
berani kita bergerak
darah dan daging serentak
hingga ke saat akhir

padu kita berhasrat
hingga bumi kiamat
pertama dan terakhir
kuat jantung berdetak
untuk berpaling tidak
biar di gelegak air

Rela kita mengangkat
cita bangsa berdaulat
ke puncak murni berukir!

Datuk A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said merupakan antara sasterawan terulung negara yang masih lagi aktif berkarya sehingga kini walaupun umurnya kini sudah mencecah 85 Tahun (lahir pada 9 April 1935).

A Samad Said, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera.

Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka.

Sumbangan A. Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu.

MERDEKA

Tongkat Warrant, 4 Julai 1954
Satu jeritan yang banyak berulang meresap
meresap... seperti senyum gadis di pertemuan
menerawang... serupa gema di tengah malam
merempuh... seperti kereta kebal di medan perjuangan.

Pekiklah!
Jeritlah!
Dan...
Maralah!

DAMAI (TANAHAIRKU DUNIA)

Usman Awang, Mastika Ogos 1955
Sisa hidup ini hendak kita pelihara
juga tanah, pohon dan buah-buah
juga tulang, daging dan darah
jangan suara jadi parau di musim kemarau.

Tapi tanah kami sudah kerecikan api
lama bermula, tidak hilang sampai kini
dan meski tawaran damai sudah diberi
orang masih tidak peduli!

Pohon getah dan tanah mengandung bijih
rebutan manusia daerah asing
kita gali kubur dan masuk berdiam di dalamnya!

Damai - seruan dan tawaran
damai - untuk tanahairku dan kemerdekaan
damai - untuk dunia dan kesejahteraan!

TANAHAIR (menjelang kemerdekaan)

Tongkat Warrant, 1956
Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani

Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai

Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan

Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan

Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

PAHLAWAN DAN TANAHAIR

Tongkat Warrant, 1958
Pahlawan sejati
dalam hatinya bernyanyi.
Tanahair dan bangsa
di mana terpaut cinta mulia.

Untukmu darah ini mengalir
padanya jasad ini cair

Usman Awang sebagai seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan.

Kerana itu nama Usman Awang paling terkenal di kalangan pengkaji dan peminat sastera Melayu pada pelbagai peringkat dan golongan.

Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan semacam keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita.

Beliau seorang penyair yang tidak pernah pudar dan sentiasa dapat menyesuaikan dirinya dalam pelbagai zaman dan situasi.

LIDAH BANGSA

A. Aziz Deraman
Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.

Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.

Datuk A. Aziz Deraman atau nama sebenar Abdul Aziz Deraman merupakan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Kini beliau merupakan Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN)

 

DILEMA MELAYU

Zurinah Hassan
Maka bangkitlah seorang Hang Jebat
suaranya meningkah angin
melantun ke anjung istana Melaka
“ Raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah.”

Terkejut Hang Tuah mendengar berita penderhakaan
gementar tubuhnya menyambut titah sultan
sambil tunduk memikirkan
Hingga air matanya mengalir
tidak tertahan-tahan
dadanya bagai akan pecah
dihempas gelombang serba salah.

Alangkah sukarnya membuat keputusan
untuk setia kepada raja yang zalim,
dan menzalimi kawan yang setia.

Bukan mudah untuk membuat pertimbangan
di antara membantah seorang tuan,
dan pentingnya mempertahankan ketuanan
melawan kerenah seorang raja
dan memelihara sebuah kerajaan.

Barangkali
apa yang kau pentingkan bukan seorang raja untuk hari ini
tetapi apa yang lebih aku bimbangkan
ialah bangsaku pada hari esok.

Sebuah lagi sajak saya yang dirangsang oleh episod pertikaman Tuah dan Jebat ialah Korban Hang Tuah

Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku
bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu.

Semalam aku tidak tidur
gelombang serba salah menghempas ke dadaku
aku menimbang dan mengenang
kaulah sahabat yang kusayang
bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu.

Alangkah sukarnya membuat pilihan
jika aku pulang membunuh Jebat
aku akan kehilangan kawan
tapi jika aku membiarkan kau menderhaka
bangsaku akan kehilangan Tuah.

Lalu aku pilih untuk mengorbankan
sahabat kesayanganku sendiri
walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu
atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.

Biarkanlah
kuharap disuatu waktu nanti
bila bangsaku berpecah belah
mereka akan menyedari
bahawa si Tuah bukan menentang Jebat
tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa
yang kupertahankan bukan raja
tetapi kerajaannya
tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara
tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.

Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana
tetapi inilah usaha terakhirku
agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya
bangsaku tidak akan hilang ketuanannya
dan Melayu tidak akan hilang di dunia.

Dato Dr Zurinah Hassan merupakan Sasterawan Negara wanita pertama di Malaysia berasal dari Kedah. Beliau diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015 telah menghasilkan pelbagai karya yang meliputi sajak, puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, cerpen, novel dan sebagainya.

 

MERDEKA JIWA 

Awang Sariyan
Sebermula
merdeka bermula di jiwa
merdeka daripada syirik kepada Yang Esa
merdeka daripada tahayul, khurafat dan wasangka.

merdeka daripada takluk kepada dunia
merdeka daripada perhambaan kepada manusia
merdeka daripada mendewa-dewakan penguasa

merdeka daripada tuntutan hawa
merdeka daripada sifat lagha
merdeka daripada hasad, khianat dan haloba

merdeka daripada penjajahan minda
merdeka daripada dualisme
merdeka daripada sekularisme

merdeka daripada kejahilan atma
merdeka daripada kejumudan idea
merdeka daripada ujub dan riyak
2.9.2020

Prof Dato’ Dr. Haji Awang Sariyan merupakan Prof penyandang Kursi Za’ba UPSI dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Beliau telah menulis pelabagai jenis karya tulis dalam usaha untuk memartabatkan bahawa Bahasa Melayu. Beliau juga mempunyai pelbagai koleksi puisi antaranya karya “Kumpulan Puisi: Mencari Makna Diri” dan “Mencari Puisi: Di Denai Kehidupan” yang diterbitkan oleh DBP.

SENJA HARI MERDEKA

Siti Zainon Ismail
Seluruh kota gemerlap cahaya
tak siapa sempat berdoa
bersama decip burung
kala perwira kehilangan kaki dan sebutir mata.
Tak siapa sudi membawanya ke dataran pesta
jalan sesak pemimpin segak berarak
tanyalah padang yang menyaksikan
laungan pertama, ogos basah
juga hampir kehilangan nama di peta
di mana muzium sejarah
menghimpun getar nyilu perjanjian
ucapan hilang di telan zaman
padang merdeka menjadi taman jerigi
tiang-tiang pualam tumbuh
hotel bintang lima
membakar tapak silam
sebuah keaiban peradaban
memusnahkan warisan

Prof Dr Siti Zainon Ismail tokoh Sasterawan Negara Malaysia yang ke-14 yang berasal dari Gombak. Beliau telah menghasilkan puluhan karya-karya berkaitan dengan sastera, sajak, cerpen, novel dan sebagainya.

 

MALAYA PASTI MERDEKA

Affrini Adham, 1955
Keseluruhan dari keadaan dan kenyataan
keseluruhan dari kesanggupan dan kebenaran
keseluruhan dari kemungkinan dan kepastian
perpaduan - pendirian - pengorbanan dan perjuangan
-telah benar-benar membangunkan kepercayaan
-telah benar-benar menimbulkan harapan
"Bahawa kemerdekaan yang sekian lama kita perjuangkan
telah dekat - mendekati kita
telah tegas dan nyata
terbayang di hadapan mata
Malaya! Pasti merdeka".

Kita pasti merdeka!
Kita adalah manusia berbangsa dan bernegara!
Kita bukan boneka!

Kita pasti merdeka
di atas "hak pertuanan" kita
selaras dengan kemerdekaan di mana-mana
sebagai manusia-manusia lain yang berbangsa dan punya negara
Malaya pasti merdeka -
di atas keseluruhan - hak-hak kenegaraannya.

Ahmad Bin Ariffin dengan nama pena, Affrini Adham, Bidas, Kelana Jaya, Mak Inang Moden dan S.P.280 telah dilahirkan di Kampung Seberang Nyonya, Alor Star pada 4 November 1927. Affrini seorang Sasterawan dan penjuang yang terkenal dengan puisinya Malaya Pasti Merdeka. Beliau telah berjuang dengan pena, kertas dan mindanya untuk menegaskan keyakinan terhadap perjuangannya. Puisi Malaya Pasti Merdeka menjadi mahakarya yang diwariskan kepada generasi hari ini menggambar kejituan hati para penjuang kemerdekaan negara.

SAJAK KEMERDEKAAN: MENYAMBUT MERDEKA

Zainal Abidin Ahmad BTP
Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.

Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.

Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.

Tan Sri (Dr.) Zainal Abidin bin Ahmad (16 September 1895 – 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Za'ba merupakan seorang sasterawan bahasa Melayu dan pemikir keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.

 

DI SINI DI TANAH INI

Zam Ismail, 1975
Di bumi inilah
tiada lain
nasi dan lauknya
sawah ladang segenggam
menjadilah gegunung perak.

Bukankah tanah ini
sawah ladang ini
yang memberikan nafas
dan anak-anakmu yang menginjak
memamah lumat daging tulang
tanah sejengkal ini
kasihmu masih berbelah
hatimu di bumi lain
asing bagai ikan-ikan di gurun.

Mengucaplah mereka yang wajar mengucap
dengan dua bibir hatimu sendiri
di sinilah udara yang kau hirup
usahlah hembuskan kembali
dengan racun yang berbisa
membunuh pucuk yang baru bertunas
menginjak dahi para wali
yang kepadanya kauberikan kepercayaan.

Tiada kematian yang lebih nikmat
dari mengasihi tanah keramat ini

SAJAK KEMERDEKAAN: 31 OGOS TIBA LAGI

Wan Zahari Wan Ali, SMK Saujana Setiu Terengganu
Setiap kali tibamu Ogos
mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah
dalam matang akal fikir
semangat dan kudrat masih berbaki
merisik khabar pejuang yang jauh
dalam lipatan darmawisata merdeka
mahalnya nostalgia.

Manis dan comelmu Ogos ini tiba jua
menyentak lolong makrifat membiak musim
ceriteranya berderai plotnya berkecai
mengirai skrip duga yang tak sudah
atas aspal fatamorgana bumi bertuah.

Ogos yang sujud di kaki merdeka
tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang
tetap menyimpul senyum
meskipun termateri kenangan pahit
yang mahal dan cantik.

Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi
bersama gemersik angin di bumi bertuah
mendewasakan ukhuwah dan ummah
siap siaga warga berdaulat memahat sejarah
dalam tamadun bangsa yang gah.

Terima kasih pejuang tanah merdeka
terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!

No comments

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.