Kellie's Castle, Tempat Menarik Di Batu Gajah Perak

Tuesday, December 18, 2018

Kellie's Castle, salah satu tempat menarik untuk dilawati di Batu Gajah Perak. Sebelum ni pergi Batu Gajah, tak berpeluang nak singgah ke Kellie's Castle. Dalam perjalanan nak ke Taiping kali ni baru berpeluang singgah di Kellie's Castle. Apa yang menariknya Kellie's Castle adalah rekaan bangunan dan juga permandangan disini yang sangat sesuai untuk aktiviti photoshoot. 


Sejarah terbinanya Kellie's Castle ni, Fiza ambil daripada wikipedia. Kau orang boleh baca dan ketahui sejarah tentang Kellie's Castle ni. Dan kalau datang sini pun sangat banyak fakta tentang sejarah dan setiap sudut ada diletakkan maklumat. Kalau jalan-jalan dalam Kellie's Castle tu boleh lah baca mana yang patut. Fiza baca sikit-sikit je. Bergambar je lebih.
Sejarah
Istana Kellie atau Kellie's Castle (kadang-kadang digelar Kesilapan Kellie (Kellie's Folly) ialah sebuah istana kota yang terletak di tepi jalan Simpang Pulai ke Batu Gajah, Negeri Perak.
Rumah Istana Kellie atau Rumah Kellas telah dibina pada tahun 1905 oleh seorang peladang getah terkemuka Scotland bernama William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India. Tukang-tukang binaan bangunan tersebut dibawa khas dari Madras.
William Kellie Smith adalah dari sebuah kampung di Scotland yang dikenali sebagai Kellas. Pada tahun 1890, ketika berusia 20 tahun, Smith tiba sebelum Tanah Melayu membangun. Di Tanah Melayu, beliau bertemu dengan seorang pemilik tanah bernama Alma Baker, yang telah memenangi konsesi dari pemerintah negara untuk meneroka 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar yang dibuat daripada perniagaan bersama ("bisnes venture") dengan Alma Baker, Smith mula menanam pohon getah dan menceburi industri perlombongan timah. Sewaktu dengan itu, dia menjadi pemilik Perumahan Kinta Kellas dan Kinta Kellas Tin Dredging Company.
Kemudiannya beliau kembali ke rumah beliau untuk berkahwin dengan orang Scotland tercinta, Agnes, dan isterinya dibawa ke Tanah Melayu pada tahun 1903. Tahun berikutnya, pasangan ini diberkati dengan anak perempuan mereka yang bernama Helen. Selama bertahun-tahun selepas itu, Agnes berusaha untuk hamil, tapi gagal. William Smith terlalu mengharapkan seorang anak lelaki sebagai waris untuk mengambil alih kerajaan itu di Kepulauan Melayu. Setelah bertahun-tahun selepas itu, akhirnya Agnes telah melahirkan seorang anak lelaki bernama Anthony, pada tahun 1915. Kelahiran anaknya ialah peringkat awal bagi keuntungan yang lebih besar untuk William Smith. Bagi merayakan kelahiran Anthony, William Smith telah memutuskan untuk memperluas rumahnya. Smith memulai perancangan untuk cadangan istana besar yang dirancangkan untuk digelar sebagai Rumah Kellas (Kellas House), sempena rumahnya di Scotland.
Bangunan ini mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia itu juga dilengkapi dengan lif yang pertama dibina Tanah Melayu. Di tingkat kedua pula akan dibina sebuah padang tenis berlantaikan simen.
Berita mengenai bangunan ini pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911. Akhbar itu mengatakan Kellas House itu merupakan bangunan yang paling tersendiri di seluruh Timur Jauh, sama ada dari segi bentuk ataupun besarnya.
Bangunan ini tidak sempat disiapkan setelah Kellie Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal untuk mengambil lif yang ditempah pada 11 Disember 1926. Bangunan yang kekal dalam keadaan 'sedang dibina' telah menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah kerana keunikannya.-wikipedia

Ground floor

Serius cakap, kalau photoshoot kat sini memang sangat cantik. Struktur istana bangunan lama ni sangat unik walaupun tidak siap sepenuhnya. Dan disebabkan itu lah Kellie's Castle manjadi daya tarikan utama di Batu Gajah, Perak ni. 

Room Level 2

Ada kalanya rasa seram masuk dalam Kellie's Castle ni sebab struktur binaan lama yang tidak siap. Banyak jalan pintu rahsia yang pada Fiza sangat seram. Keluasan istana ni memang besar. Memang puas jalan dan sampai tak terlarat jalan kalau pergi sini masa cuaca tengah panas. Bermandi peluh lah kau orang. Dengan musim cuti sekolah ni lagilah ramai manusia. Nak ambil gambar memang kena ikut giliran.
Setiap sudut dan setiap bilik ada disertakan sekali maklumat 

Room Level 3

View sungai
Dah sampai level 3 ni memang ambil gambar sajalah sebab view dia sangat cantik. Nampak view luar dan bilik pun lebih banyak cahaya masuk berbanding level bawah. So memang lebih ramailah suka bergambar kat sini. Struggle lah memasing ambil gambar kan.


Keluar daripada bilik level 3 boleh keluar ke second roof top yang tak berapa nak gayat. Tapi gayat jugalah nak posing tepi-tepi tu bila nampak bawah. Paling banyak ambil gambar kat roof top ni. Boleh ambil gambar setiap sudut sebab semuanya pun nampak cantik.

Roof Top Level 3, yang lagi satu tu baru real one roof top

Nak naik roof top ke tak ni? Berani ke?


Kalau kau orang dah tengok cerita munafik2, kat sini lah penggambarannya scene Abuya dan pengikutnya tu. Seram kan?


Roof Top
Untuk naik ke roof top ni kena melalui tangga yang kecil ni. Kena lah naik seorang-seorang ikut giliran. Memang tak boleh berselisih lah, melainkan dengan budak kecil. Kalau tak memang tak muatlah. Tangga dia nak kata curam pun tak sangat lah kot pada Fiza. 

Tangga ke Roof Top
Selain bangunan istana atas tanah ni, ada juga tanah. Tak sempat lah nak explore lebih Kellie's Castle ni. Datang dah petang, hari nak hujan pula tu. Memang kena angkat kaki lah. Ngam-ngam turun dari Kellie's Castle nak ke kereta terus hujan lebat. Jadi, tamatlah eksplorasi Kellie's Castle. Okay, tak tercapai lah hajat nak kesini. Kalau kau orang tersinggah Batu Gajah tu boleh lah singgah Kellie's Castle untuk rasa pengalaman sendiri.


Kellie's Castle mudah nak access sebab dekat tepi jalan besar je. Guna waze dah boleh sampai. Bayaran RM5 dikenakan untuk dewasa. Parking pula kena bayar RM2 okay. Sebelum masuk tu ada kakak staff tu nak ambil gambar, tak perlu bayar katanya. Kalau dah ambil gambar ni mesti suruh beli nanti kan. Itulah yang Fiza fikir walaupun katanya free. Well, dah biasa trend macam tu kan di mana-mana pusat tarikan pelancong.

Betul sangkaan Fiza, last-last nak balik tu dia tunjukkan gambar yang dia ambil untuk dibeli. RM25 atau RM35 entah dia kata siap sekali dengan cover Kellie's Castle. Kami orang geleng tak nak, kemudian dia tak putus asa promot untuk beli gambar sahaja RM10 sekeping saiz 6R kalau tak silap Fiza. Kami balas dengan baik" takpelah". Kemudian dia buat muka. Kamiorang pun terus jalan masuk ke kereta sebab nak hujan.

Kan dah membazir macam tu. Lain kali kena tanya dulu nak ambil gambar tak buat kenangan dengan hanya sekian-sekian. Tak lah membazir cuci gambar hard copy tu. Okay takpelah, fikir positif gambar tu boleh letak dalam gallery kemudian hari. Mungkin strategi macam ni kena tukar. Mungkin ada sesetengah orang kesian terpaksa beli atau yang memang nak gambar hardcopy kalau takde camera. Pada Fiza, memang perlu tanya dululah kot samada nak ambil gambar atau tidak. Walau apapun pengalaman datang sini best cuma larat tak larat je lah nak jelajah satu istana ni.

By the way, kalau ada yang bertanya pasal topi tu boleh baca sini>> Tempah Customize Foldable Big Summer Hat Travel

4 comments

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri. Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan. Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun, soalan yang jawapannya terang lagi bersuluh ada dalam entri, atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan. Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum.

Sekian Terima kasih.