Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Mulai 10 Jun

Ramai yang ternanti-nantikan pengumuman khas Perdana Menteri hari ni berkenaan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Dilanjutkan atau tidak? Setelah mendengar pengumuman khas ni rasa nak nangis pun ada bila dapat tahu dah boleh rentas negeri. 

PKPB jadi PKPP (Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan). Kecuali PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan). Jangan ingkar perintah kawalan ok.

Credit : google

Perkara pertama yang semua orang fikir adalah nak balik kampung. Ye, betul! Itulah yang ada dalam fikiran sekarang tak ada benda lain dah. Lagipun masih lagi dalam mood raya walaupun dah pertengah Syawal. Janji dapat balik kampung beraya dengan keluarga di kampung.

Terbayangkan keseronokan dah! Rasa tak sabar nak tunggu 10hb tu. Sabar-sabar. Tapi itulah terfikir juga bila segerombolan kereta dan umat manusia balik kampung, memang akan jammed lah kan. Lautan jammed sanggup ku redahi. Cewahhh. kemain lagi.

Ingat kawan-kawan, SOP kena patuhi juga. Fiza plan nak balik hari jumaat lah. Risau juga kalau ramai yang keluar sekali satu hari tu kan. Tak boleh seronok sangat. Masih risau dan perlu fikirkan social distancing juga. Bukan mudah nak lalui kehidupan baru new normal ni. Kita pelan-pelan kayuh dan hadam kehidupan baru kita ni okay.


Antara pengumuman yang dibuat adalah seperti di bawah. Baca dan faham betul-betul.


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP)
7 JUN 2020 (AHAD)

Bismillahirrahmannirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Apa khabar semua? Saya doakan semoga saudara dan saudari sihat walafiat.

1. Pada Petang Jumaat yang lalu saya telah mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA dengan 40 inisiatif bernilai RM35 billion untuk membantu usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. Pada petang ini pula saya akan mengumumkan beberapa langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memasuki fasa pemulihan COVID-19. Fasa pemulihan ini adalah sebahagian daripada exit strategy atau strategi keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sejak 4 Mei 2020.

2. Alhamdulillah, sejak PKP dan PKPB dilaksanakan kadar jangkitan COVID-19 di negara kita menunjukkan trend yang semakin menurun. Satistik Kementerian Kesihatan memperlihatkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal. Kebanyakan kes yang dicatatkan sejak kebelakangan ini adalah kes import dan kes-kes yang melibatkan pendatang asing tanpa izin di depot-depot tahanan imigresen. Kita bersyukur kerana tindakan pantas para petugas barisan hadapan telah berjaya membendung penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan di depot imigeren dan keadaan pada masa ini adalah terkawal. Pada masa yang sama, kapasiti perubatan dan kesihatan awam negara kita juga berada pada tahap yang lebih baik dan meyakinkan. Ini menunjukkan Malaysia telah berjaya membendung penularan COVID-19 dengan berkesan dan kini sedang memasuki fasa pemulihan.

3. Saya nak mengucapkan syabas kepada para petugas barisan hadapan dan anda semua yang telah menyumbang kepada kejayaan kita membendung wabak COVID-19. Kejayaan ini adalah kejayaan anda semua. Anda telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan sepanjang PKP dan PKPB dilaksanakan.

4. Oleh itu, pada petang ini saya nak mengumumkan satu berita yang agak melegakan kepada anda semua. PKPB yang akan berakhir pada 9 Jun 2020 akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP yang akan bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020. Dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada saudara-saudari untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

5. Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD. Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian. Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung. Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan.

6. Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP. Sepertimana yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, perkhidmatan gunting rambut dan salun akan dibenarkan. Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga akan dibenarkan.

7. Selain itu, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan. Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem. Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

8. Dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP. Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain. Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan. Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki.

9. Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan. Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir 3 bulan tidak ke mana-mana. Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup.

10. Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam. Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi.

11. Bagi ibu-bapa yang ada anak yang bersekolah, pastinya saudara-saudari tertanya-tanya bila sekolah akan dibuka. Untuk makluman saudara-saudari, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan. Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi.

12. Dalam tempoh pemulihan menuju normalisasi ini, beberapa aktiviti dan sektor di dalam senarai negatif semasa PKPB akan dilonggarkan atau dibuka berdasarkan SOP yang ditetapkan. Umpamanya, waktu operasi perniagaan akan kembali seperti biasa dengan pelaksanaan kebiasaan baharu yang melibatkan pemilik premis dan pelanggan. Penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka di tempat awam dan membasuh tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer merupakan kebiasaan baharu yang mesti diamalkan.

13. Walaupun saya telah mengumumkan banyak kelonggaran, ini tidak bermakna tiada lagi apa-apa sekatan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengawal penularan COVID-19. Beberapa aktiviti atau sektor masih dillarang. Ini termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada SOP.

14. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut senarai aktiviti atau sektor yang dibenarakan dan yang tidak dibenarkan, saudara-saudari bolehlah layari laman web Majlis Keselamatan Negara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Kerajaan akan melaksanakan PKPP dengan berteraskan 7 Strategi iaitu:
• Pengukuhan Kesihatan Awam;
• Perundangan dan Penguatkuasaan;
• Pengukuhan Kawalan Sempadan;
• Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi;
• Pembudayaan Kebiasaan Baharu;
• Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti; dan
• Perlindungan Golongan Berisiko.

16. Strategi ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan. Manakala di peringkat kerajaan negeri pula, strategi ini akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh YAB Menteri Besar dan Ketua Menteri. Pelaksanaan strategi ini pastinya memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti.

17. Sejak PKP dilaksanakan hampir 3 bulan yang lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan langkah yang wajar dalam menangani dan membendung wabak COVID-19. Banyak kawalan dan sekatan yang dikenakan ke atas saudara dan saudari sekalian. Itu tak boleh, ini tak boleh dan sebagainya. Namun, saya sedar kerajaan tidak boleh mengawal kehidupan saudara-saudari buat selama-lamanya untuk menghindari jangkitan wabak ini. Saya tahu saudara-saudari juga mahu menjalani kehidupan seperti biasa. Saudara-saudari ingin keluar bekerja, berniaga, beriadah, melancong bersama keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti lain dalam kehidupan seharian.

18. Jadi, kini tibalah masanya kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada saudara-saudari dengan syarat saudara-saudari sendiri mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini bermakna, tanggungjawab untuk memastikan wabak COVID-19 kekal terkawal berada di tangan saudara dan saudari sekalian. Saya juga ingin menekankan kepentingan peranan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung, ketua komuniti dan pemimpin NGO dalam membendung penularan wabak ini dengan memastikan semua anggota masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Tidak kurang pentingnya ialah peranan majikan. Para majikan juga mestilah memastikan semua pekerja mematuhi SOP di tempat kerja.

19. Jika saudara dan saudari semua terus berdisiplin dan beristiqamah, saya percaya insyaAllah penularan wabak ini akan kekal terkawal dan kita akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus COVID-19 ditemui. Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan. Saya harap kita semua sentiasa berdisiplin supaya peningkatan kes COVID 19 dapat kita elakkan.

20. Sehubungan dengan pelaksanaan PKPP ini, saya menyeru saudara dan saudari semua untuk menggunapakai aplikasi MySejahtera yang telah dibangunkan oleh kerajaan untuk membolehkan saudara-saudari melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Aplikasi ini juga akan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan yang cepat, tepat dan berkesan untuk mengenalpasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.

21. Apa yang penting ialah kita semua mestilah bersedia untuk membudayakan kebiasaan baharu dalam kehidupan kita. Ya adakalanya kita merasakan sedikit sukar untuk mengamalkannya tetapi percayalah setiap kesukaran itu akan disusuli dengan kesenangan. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Syarhu ayat 4 dan 5:

فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا . إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرٗا

Yang bermaksud:
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan, bahawa sesungguhnya tiap- tiap kesukaran disertai kemudahan.

22. Akhirnya, saya berdoa semoga kesihatan dan kesejahteraan kita sentiasa terpelihara dan kita semua dapat menjalani kehidupan yang bahagia bersama keluarga dan orang-orang yang tersayang.

Wabillahi al-taufil walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Dari teks ucapan Perdana Menteri, banyak kelonggaran telah diberikan. Harap kita semua patuhi SOP untuk terus kekal selamat dan putuskan terus rantaian pandemik Covid 19. #kitajagakita


16 comments:

  1. Samalah terus buat perancangan nak rentas negeri Rabu tu juga. Hehe.Macam nak lompat bintang.

    ReplyDelete
  2. ramai yg menunggu nak balik kpg..

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul..semua orang nak balik kampung. Lagipun masih dalam mood raya lagi.

      Delete
  3. Tak sabar nak balik tengok mak abah di kampung... nak tolong kemas rumah..nak masak....

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan kak..macam-macam nak buat ni bila balik kampung. selamat pulang ke kampung.

      Delete
  4. alhamdulilah, pkp dan makin dilonggar, apapun kita harus patuhi sop. stay safe semua

    ReplyDelete
  5. Masha Allah, turut senang dengan kemajuan Malaysia dalam menangani wabak covid-19 ini, apalagi telah menunjukan grafik penurunan wabak ya.

    Semoga covid-19 bisa segera hilang, dan keadaan bisa kembali seperti semula dan tentunya dengan habbit yang lebih baik :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, semakin hari semakin kurang jumlahnya.

      Aaminnn..semoga pandemik terus segera hilang dari dunia.

      Delete
  6. Alhamdulillah, dah boleh rentas negeri. Dah boleh balik kampung. Apa-apa pon, stay safe yeee. :)

    Rasanya 10 Jun tuu jalan akan sesakkkk >.<

    ReplyDelete
  7. nak balik sarawak tapi tiket mahal sangat...takpelah, tunggu harga tiket turun dulu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye lah kan. awal-awal ni penerbangan domestic mesti macam naik harga sikit. sabar je lah..semoga dipermudahkan.

      Delete

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.