Selesai urusan daftar anak buah di USIM, kami singgah makan tengah hari di Restoran Salomak Sampodeh Nilai yang tak jauh dari USIM. Restoran Salomak Sampodeh ni popular dengan masakan kampung terutamanya masakan masak lemak cili api, asam pedas dan ikan bakar.

Salomak Sampodeh

Hasil dari bantuan ChatGPT, Salomak Sampodeh merujuk kepada ungkapan dalam bahasa Minangkabau iaitu Salomak bermaksud sedap/enak dan Sampodeh (sambal lado) maksudnya sambal yang pedas.

Kesimpulannya Salomak Sampodeh membawa maksud sedap dan pedas atau menggambarkan makanan yang sedap dengan rasa pedas. 

Tapi yang saya fikir pula Salomak (masak lomak = lemak), Sampodeh (asam podeh=pedas) kot ikut loghat Nismilan (Negeri Sembilan).

Tak pastilah tentang sejarah nama Restoran Salomak Sampodeh ni. Hanya tuan kedai je tahu kisah dan maksudnya. Tak sempat nak kaji lebih lagi. 

Kami sampai sedang elok waktu makan tengah hari pun. Mujurlah tak full house lagi. Masih ada meja kosong lagi. Biasalah kan waktu tengah hari mestilah penuh sebab peak hour orang keluar makan.

Restoran Salomak Sampodeh

Kami tengok dulu makanan yang ada. Banyak juga hidangan jenis lauk masakan lemak cili api kepakaran mereka. Ada ayam kampung masak lemak cili api dan daging salai masak lemak cili api.

Masakan masak lemak cili api Restoran Salomak Sampodeh

Siap sekali dengan harga. Tak ketinggalan, ada juga ikan baung masak lemak cili apit dan itik salai masak lemak cili api. Tak perasan pula ada ke tidak lauk patin masak lemak cili api. Siput sedut masak lemak cili api pun tak kelihatan.

Tak ada atau mungkin dah habis. Tak tahulah saya.

Masakan masak lemak cili api pedas Restoran Salomak Sampodeh

Beralih ke masakan asam pedas, ada ikan siakap asam pedas dan tetel asam pedas.

Masakan asam pedas Restoran Salomak Sampodeh

Selain tu, ada juga ikan jenahak asam pedas dan ikan kembung asam pedas. 

Masakan Asam Pedas Restoran Salomak Sampodeh

Sayur, hanya nampak terung berlada dan kangkung belacan. Ulam-ulaman pun ada tapi tak banyak pilihan sangat.

Ulam-Ulaman Restoran Salomak Sampodeh

Penuh meja kami ambil lauk pauk pilihan masing-masing dan kongsi makan bersama. Kami 4 orang ambil nasi separuh je. Abang ipar ambil nasi semangkuk penuh. 

Hidangan makan tengah hari Restoran Salomak Sampodeh

Pinggan saya, nasi separuh, ulam penggaga dan juga sambal belacan sikit. Ada ulam, kenalah ada sambal belacannya. Mana boleh berpisah.

Makan Tengah Hari Masakan Kampung di Restoran Salomak Sampodeh

Ikan cencaru bakar

Isi lembut dan segar di bakar panas-panas di situ. Sambal pun pedas. Sekali hidang dengan limau kasturi yang telah dipotong. Limau tu fungsi dia untuk menyedapkan lagi rasa ikan bakar. Atau untuk kurangkan hanyir ikan dan boleh juga kurangkan rasa pedas sambal tu.

Daging salai masak lemak cili api

Daging lembut dan terasa asap salai tu. Kuah masak lemak cili api pekat dan pedas. Approved by Encik Suami selaku orang Nismilan yang pempedas. Habis licin mangkuk dia hirup kuahnya tu. Saya pun setuju rasa pedas dan sedap tu. Berpeluh makan wey!

Ikan kembung asam pedas

Isi lembut, segar dan manis. Saya suka jenis ikan kembung yang saiz sederhana ni sebab rasa dia lagi sedap. Sesuailah untuk porsi sorang atau dua orang makan ni. Kuah sedap pekat, masam pedasnya cukup. Tapi terlebih pedas sikit.

Daging goreng belado

Saya rasa daging sepotong je dan dagingnya agak keras sikit. Tak pasti pedas ke tak sebab dah makan lauk lain sebelum tu.

Kangkung belacan

Saya ambil sikit je sebab dah ada ulam penggaga. Sedap kangkungnya rangup, taklah layu sangat.

Sambal belacan

Pedas ya amat! Mujurlah ambil sikit je.

Berlawan pedas semua lauk ni. Encik Suami dan kakak saya rileks je makan. Tak pedas katanya. Nampaknya saya dah kalah dengan pedas. Abang ipar dan anak buah pun tahan pedas juga.

Gulai daging tu tak sempat saya rasa sebab dah makan macam-macam rasa macam tak teringin pula nak mencuba.

Harga hidangan semuanya berjumlah RM83.50 untuk lima orang.

Resit Restoran Salomak Sampodeh

Harga berbaloi dengan rasa sedapnya. Nak makan masakan kampung yang sedap di Nilai, bolehlah datang makan di Restoran Salomak Sampodeh ni.

Hongeh dek sodap..Konyang sampai telontang

Sesuai sangatlah dia punya tagline tu kan. Next time boleh cuba makan di tempat lain pula. Boleh suggest tempat makan di Nilai yang sedap? Jangan lupa tinggalkan komen di ruang komen di bawah ye. Terima kasih.