Selera beralih ke seafood pulak. Alang alang beli siput sedut ada lala, husband pun beli lala sekali buat stok. Sebenarnya nak kupang tapi kupang tak ada. Takpe, lala pun boleh lah.

Beli lala, mesti akan masak lala tumis sambal cili api. Saja nak tukar selera, buat lala masak lemak cili api pulak lak. Sejenis masakan lala masak lemak simple. Pertama kali masak dan makan lala masak lemak cili api.

Lala

Lala dikenali juga dengan nama siput retak seribu disebabkan cengkerangnya bercorak corak seperti retakan. Itu yang membezakan lala daripada jenis kerang-kerangan yang lain. Lebih mudah lah nak kenal lala ni.

Pernah tersalah beli kepah sebab dia labelkan lala. Terus beli. Itu cerita zaman tak belajar masak lagi tu. Tak kenal lagi. Hahahaha....

baca juga :  

Jenis-jenis kerang-kerangan :

  • Remis
  • Kepah
  • Lokan
  • Kupang
  • Mentarang
  • Pepahat

Lala hidup dikawasan pantai berpasir dan berlumpur. Seperti siput sedut, lala juga banyak terdapat di Pantai Kuala Selangor, Pantai Remis, Pantai Sekichan, Pantai BNO (Teluk Ru), Pantai Kg.Banting, Pantai Sg Lang dan Pantai Sekendi.

Lala ni bermusim juga macam kerang, siput sedut semua tu. Masa tengah musim, banyaklah stok di pasar tu. Cuma harga seafood ni sedia maklum harga dia semakin naik. 

Okay, berbalik pada resepi lala masak lemak cili api sedap teruk! Tajuk taknak kalah ye. Cara masa sama macam resepi siput sedut masak lemak cili api semalam. 

Cara Bersihkan lala

Masukkan lala dalam penapis dan bilas bawah air paip mengalir. Lepas tu masukkan dalam bekas dan rendam dengan air, garam dan hirisan limau @lemon untuk hilangkan bau hanyir. Selepas 10 minit, bilas dan toskan.

Resepi Lala Masak Lemak Cili Sedap Teruk

Resepi Lala Masak Lemak Cili Api

Bahan-bahan
Lala
Cili api ikut tahap kepedasan masing-masing
2 inci kunyit hidup
1 batang serai diketuk
1 helai daun kunyit
1/2 kotak santan pekat
1 keping asam keping
1/2 camca garam
1/2 sudu besar gula
Air

Cara Penyediaan

Lala yang ditoskan tadi masukkan dalam periuk, buka api dan tutup periuk. Jangan letak air ye. Biarkan sampai lala masak. Tanda lala dah masak, dia akan terbuka. 

Sementara tunggu, tumbuk cili api dan kunyit hidup. Bila lala dah masak masukkan bahan tumbuk, serai, air, santan, asam keping, garam, gula daun kunyit. Kacau rata dan biarkan kuah masak dengan lala. Siap!

Nak lagi mudah, masukkan je semua bahan-bahan tu dalam periuk. Kacau dan tunggu masak je. Saja guna kaedah masak dulu tanpa air untuk lebih sedap. Nak kuah pekat, letak air sikit je. 


Lala masak lemak nanas pun sedap juga. Tak perlu tambah asam keping kalau letak nanas.