Eh, dari mana nak mula cerita ni. Kekok bila lama tak menaip. Kita mulakan cerita pengalaman buat veneer gigi dululah. Cerita yang tertangguh dating dengan doktor gigi

Saya datang awal ke klinik dengan perasaan berdebar debar. Dah terbayang bunyi mesin gerudi gigi tu. Ngilu rasanya! Tak tunggu lama sangat. Dalam 10-15 minit macam tu sampai lah giliran saya.

Masih berdebar-debar tak putus putus. Cuba untuk bertenang dan baring. Saya disuruh kumur dahulu, kemudian diberikan spek untuk perlindungan mata dari cahaya lampu yang terang berderang tu.

Bila dia mula gerudi tu. Aduhaiiii..rasa macam tak boleh tahan dah. Cara buat veneer ni memang kena kikis sikit gigi asal tu. 

Lepas tu saya rasa susah nak bernafas sebab air liur bertakung di tekak. Panik mungkin. Atau memang tak tahan. Almaklumlah sejak covid ni mana nak melawat klinik gigi. Jadi, rasa tak selesa kejap. Saya angkat tangan dan doktor berhenti kejap.

Lepas dah sedut, okay dah boleh bernafas macam biasa. Doktor tak rilek lansung buat kerja dia. Laju buat kerja. Tahu-tahu dah siap. Doktor bagi cermin dan tataplah gigi tu elok ke tidak doktor buat. Macam kejap je tapi kejap tu terasa lama betul. Ada lah dalam 15minit macam tu kot. Entahlah, dalam kepala ni rasa nak cepat siap je. Mana tahan dengan bunyi gerudi dan ngilu tu.

Selepas berpuas hati dan doktor cakap, mula mula memang agak tak selesa. Lama lama nanti okaylah. Ye, memang betullah apa doktor cakap tu. Mula mula memang kurang selesa sikit tapi sekarang okay dah. Cuma kadang tu lupa pesan doktor jangan guna gigi depan makan yang keras keras. Adeh!

Sekarang dah boleh tersenyum dah. Elok hasil buatan doktor gigi klinik pergigian Medissa ni. Puas hati. Elok terbentuk gigi tu. Senangnya dalam hati gigi dan kembali okay.

Pengalaman Buat Veneer Gigi

Harga veneer gigi 2021 di klinik pergigian Medissa ni RM200 sebatang. Haritu dah bayar deposit RM100 masa consult. Lepas rawatan veneer, baru bayar bakinya RM100 lagi.

Sekarang ni trend putihkan gigi kan? Ramai juga artis malaysia yang buat veneer gigi untuk jaga penampilan senyum nampak cantik je gigi teratur elok. Nak tahu apa veneer gigi. Boleh baca dibawah. 

Tapi kalau veneer sebatang ni dia akan ikut warna gigi asal yang lain. Taklah putih melepak, kang janggal pulak putih satu gigi je. Tapi kalau nak buat rawatan pemutihan gigi lepas ni, gigi veneer tu tak akan berubah warna dah.

Gigi kuning sikit itu biasa dan tanda sihat sebenarnya. Ramai salah anggap dan obses nak gigi putih. 

Apakah Veneer gigi

Veneer gigi adalah sejenis rawatan kerangka tampalan yang sangat tipis. Veneer gigi dilakukan secara khusus bagi menutupi permukaan gigi dengan tujuan memperbaiki dan mencantikkan bentuk gigi.

Rawatan veneer akan dilekatkan pada bahagian hadapan gigi yang akan merubah warna dan bentuk, gigi menjadi cantik. 

2 jenis gigi veneer

1. Porcelain

Veneer porselin perlu dihasilkan di makmal oleh juruteknologi pergigian yang terlatih sebelum dilekatkan pada permukaan gigi.

Veneer dengan bahan porselin lebih bagus kerana mampu memberikan warna gigi yang lebih natural. Akan tetapi kos veneer poselin lebih mahal.

2. Resin composite

Veneer komposit dilekatkan terus pada gigi pesakit oleh doktor gigi semasa lawatan klinik yang pertama dengan sekali lawatan. Atau perlu dihantar ke makmal untuk diproses terlebih dahulu oleh juruteknologi.

Bahan resin composite lebih tipis dan perlu mengikis sedikit lapisan atas gigi sebelum veneer dipasang. 

Veneer gigi dapat bertahan hingga bertahun-tahun sebelum akhirnya rosak dan perlu bu rawatan yang perlu. Sebaiknya berjumpa dengan doktor gigi setiap 6 bulan.

Yang saya buat jenis resin composite. Sekali lawatan dah boleh siap. Cepat dan murah lagi. 

Kelebihan veneer gigi

Veneer gigi adalah satu rawatan yang konservatif terhadap tisu pergigian. Kebiasaannya ia hanya memerlukan pengurangan pada lapisan enamel sebanyak 0.5 milimeter (mm) dan prosedur ini selalunya tidak memerlukan penggunaan ubat bius setempat.

Memilih menggunakan veneer porselin yang diperbuat daripada bahan seramik yang bersifat kaca dan akan kelihatan seakan-akan gigi yang asli. 

Setelah prosedur rawatan dilakukan pada permukaan gigi, restorasi veneer gigi akan tampak seperti gigi asli. Mereka yang menjalani rawatan veneer pasti lebih yakin untuk memberikan senyuman yang menarik dan lebih berkeyakinan.

Bahaya veneer gigi

Harus diingatkan, tidak semua prosedur rawatan akan dapat memberikan hasil yang memuaskan. Ini kerana adakalanya gigi yang dipasang veneer akan kelihatan agak besar jika pengurangan lapisan enamel tidak mencukupi semasa proses penyediaan gigi.

Terdapat kemungkinan juga akan wujud risiko berlakunya sensitiviti gigi selepas rawatan dan kematian tisu pulpa juga boleh berlaku jika penyediaan pengurangan lapisan enamel yang terlalu nipis sehingga mencecah lapisan dentin.

Veneer yang dipasang juga boleh berdepan kemungkinan untuk tertanggal jika tidak disimenkan dengan sebaiknya. Masalah simen atau porselin yang berlebihan juga boleh berlaku jika perapian tidak dilakukan oleh doktor pergigian.

Tetapi tak semua masalah gigi boleh diselesaikan dengan hanya rawatan veneer gigi.

Masalah gigi yang boleh dilakukan rawatan veneer

  • Gigi yang mengalami perubahan warna

Keadaan ini biasanya disebabkan oleh pengambilan ubatan tertentu semasa gigi terbentuk, rawatan akar gigi, pengambilan flouride secara berlebihan, tampalan resin yang besar dan sebagainya.

  • Gigi patah atau retak

Keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Gigi mungkin mengalami retak atau patah disebabkan oleh kemalangan atau tergigit makanan yang keras (macam kes saya).

  • Permukaan gigi semakin nipis

Gigi yang semakin menipis atau haus ini boleh berlaku kerana tabiat individu yang suka mengetap gigi. Adakalanya keadaan ini juga boleh berlaku disebabkan faktor usia dan pengambilan ubatan tertentu.

  • Jarak gigi yang ketara

Sesetengah individu mungkin akan mengalami masalah gigi yang mempunyai jarak atau ruang yang ketara antara gigi. Rawatan veneer ini boleh dilakukan untuk membantu menutup ruang antara gigi-gigi tersebut.

  • Bentuk gigi

Selain masalah jarak antara gigi yang ketara, rawatan veneer boleh menjadi pilihan rawatan untuk mereka dengan masalah bentuk gigi yang tidak sejajar, tidak lurus, kedudukan gigi yang tidak teratur atau mempunyai masalah bentuk permukaan yang lain daripada kebiasaan.

Apa apa pun untuk memperbaiki sebarang masalah gigi yang minima, berkemungkinan rawatan pergigian lain yang lebih konservatif akan disarankan seperti rawatan pemutihan, pengkonturan semula secara estetik atau veneer komposit.

Untuk individu dengan yang mengalami kerosakan yang lebih besar atau serius, rawatan korona gigi adalah alternatif yang lebih sesuai dan lebih kuat berbanding prosedur rawatan veneer.

Sebelum menjalani apa apa rawatan gigi, doktor gigi akan memberikan nasihat dan pandangan doktor pakar mengenai pilihan rawatan yang sesuai dan terbaik. Tak boleh suka suka kita nak buat itu ini. Doktor gigi akan rawat mana yang lebih utama. 

sumber : https://therohani.com/veneer-gigi-malaysia/