Ikut perancangan, sebelum balik rumah nak singgah rumah kakak di Sabak Bernam. Sebelum sampai ke Sabak Bernam tu kami singgah Teluk Intan sekejap. Alang-alang balik ikut Tapah, why not pergi Menara Condong Teluk Intan.

Konon nak cari makan kat Tapah tapi tak jumpa kedai yang berkenan semasa dalam perjalanan. Dah sampai Teluk Intan pun tak jumpa kedai lagi. Last-last makan kat rumah kakak je sudahnya.

Kali terakhir pergi Menara Condong Teluk Intan ni masa zaman sekolah rendah. Masa tu abang bawa jalan-jalan Teluk Intan sebab akak ipar orang Teluk Intan. Sekali tu je lah pernah datang. Jadi kali ni kita pergi bersama suami. Dia pun tak pernah sampai sini lagi.

Bayaran masuk menara condong

Sekadar nak bergambar sekitar Menara Condong, Teluk Intan Perak ni PERCUMA je. Tak pasti lah boleh masuk naik atas dan tak tahu juga bayaran masuk Menara Condong ni berapa. Masa saya pergi tutup. Jadi, bergambar kat sekitar luar pun cukuplah.

gambar menara condong teluk intan

Menara Condong Teluk Intan, Perak

Menara Condong adalah sebuah menara jam yang terletak di Teluk Intan, Perak. Menara Condong adalah mercu tanda bandar Teluk Intan sejak beberapa lama dahulu.

Seni bina Menara Condong Teluk Intan Perak ni seakan Menara Condong Pisa. Menara Condong Pisa di Itali, Menara Condong di Malaysia.

Kini menara ini tidak digunakan lagi dan hanya menjadi tarikan pelancong yang mengunjungi bandar Teluk Intan.

Di bahagian bawahnya dihiasi dengan landskap yang indah seperti pasu bunga, lantai marmar dan kerusi rehat untuk bersantai seisi keluarga.

Sejarah Menara Condong

Menara Condong Teluk Intan, Perak, Malaysia ini dibina pada tahun 1885 dengan ketinggian setinggi 85 kaki dan terdapat 110 buah anak tangga. Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, Menara Condong masih berdiri kukuh dan agak senget dan tercondong sedikit.

Menara ini sebenarnya adalah merupakan takungan air sebelum adanya tangki air di Changkat Jong. Bangunan tiga tingkat ini dilengkapi dengan jam besar.

Pada zaman Jepun (1942-1945) bangunan Menara Jam ini dijadikan menara kawalan untuk meninjau kedatangan musuh. Bangunan kayu ini yang digunakan sebagai bangunan ketenteraan oleh pihak Jepun telah menyebabkan kerosakan terutama pada bahagian atas.

Kini bangunan condong ini mendapat julukan Menara Condong kedua di dunia selepas Pisa di Itali. Menurut satu kajian, tujuan pembinaan menara condong atau juga dikenali sebagai Jam Tinggi adalah seperti berikut:

  • untuk menyimpan air bagi penduduk tempatan pada musim kemarau
  • dalam memastikan kemudahan pengurusan air British ditingkatkan
  • untuk bekalan air sekiranya berlaku kebakaran
  • sebagai penjaga masa
  • tempat raja bomoh buat ritual (sekadar gurauan)
Tangki air terletak di aras tiga yang dibuat daripada keluli setinggi 16 kaki. Tangki ini boleh memuat sejumlah 680 kaki padu air. Menara ini pernah digunakan oleh Lembaga Perancang Keluarga Negara dan Persatuan Pengakap Teluk Intan. 

Kenapa Menara Condong Teluk Intan condong

Menara Condong asalnya tidaklah condong sebagaimana sekarang. Orang yang bertanggung jawab membina Menara Jam ini ialah Leong Choon Cheong atau Ah Cheong. Sebagai arkitek beliau mendapat ilham membina dengan reka bentuk demikian berdasarkan bangunan pagoda di Negara China.

Setelah 10 tahun dibina, iaitu pada tahun 1895 telah berlaku banjir besar di Teluk Intan sehingga menara ini tenggelam. Banjir yang berlaku dengan bebanan air yang berat inilah dipercayai punca menara ini mula condong ke arah Barat.

Begitulah ceritanya. Kagum dengan kekukuhan seni bina Menara Condong Teluk Intan ni. Baguslah masih dijaga dengan elok. Menara Condong ni adalah tarikan utama kalau datang Ke Teluk Intan. Walaupun sekadar singgah ambil gambar, itu pun dah terpaling Teluk Intan dah.

gambar menara condong teluk intan

Menara Condong Teluk Intan mungkin lebih happening kot. Masa saya singgah, ada gerai jualan kat tepi tepi tu.  Ada juga hotel berdekatan Menara Condong Teluk Intan. Kot tak puas nak jalan-jalan explore Teluk Intan atau nak bilik view Menara Condong ke kan.

Kat Cameron Highland tak dapat nak letak tripod sebab tak rata. Nak ambil gambar berdua kena wefie je. Kali ni tempat rata dapatlah gambar potrait berdua elok sikit. Permandangan berlatar belakang Menara Condong tu yang mahal tu.

gambar menara condong teluk intan

Sekitarnya juga ada medan selera Menara Condong. Meriah jugalah suasana dekat sini. Orang Teluk Intan tak heran dah. Tapi kalau orang luar datang sini memang sesak lah sikit. Hehe... 

sumber info : orangperak