Salam Isra Mi'raj/ Israk Mikraj 1445H (2024M) buat semua umat Islam. Isra Mi'kraj adalah Peristiwa paling agung dalam sejarah Islam yang digelar sebagai peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW.

Tarikh Isra Mi'raj yang disambut pada hari ke-27 bulan ketujuh yang dikenali sebagai bulan Rejab dalam kalendar Islam. 

Pada tahun ini, tarikh Isra Mi'raj 2024 di Malaysia adalah pada hari Khamis, 8 Februari 2024 bersamaan 27 Rejab 1445H. Antara negeri yang bercuti adalah negeri Kedah, Negeri Sembilan, Perlis dan Terengganu.


Sempena Isra Mi'raj ini, marilah kita mengambil ibrah dari peristiwa ini dengan penuh penghayatan dan ketakwaan. 

Kelebihan dan pengajaran dari kisah peristiwa Israk Mikraj

Baitulmaqdis adalah harta umat Islam

Bumi palestin adalah bumi barakah yang menjadi tempat pilihan Allah SWT untuk berlakunya peristiwa penting dalam sejarah iaitu Israk Mikraj. Ini membuktikan tanah suci ini dimuliakan Allah SWT dan wajib dipertahankan oleh semua umat Islam.

Mengakui kebesaraan Allah dan kehebatan kerajaanNya

Allah SWT telah memperlihatkan kepada Rasulullah SAW keagungan kerajaanNya yang tiada terbatas. Peristiwa ini mendidik manusia untuk merasa diri kerdil di hadapan Allah SWT dan mengakui hakikat diri sebagai hamba Allah.

Kepentingan Solat Fardu lima waktu

Rasulullah SAW telah menerima perintah solat Fardu secara langsung daripada Allah SWT tanpa melalui perantaraan. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan ibadah solat berbanding ibadah yang lain.

Menjauhi perkara mungkar dan yang dilarang

Semasa Israk Mikraj, Rasulullah SAW dibawa meninjau suasana di neraka dengan pelbagai bentuk balasan dan penyiksaan ke atas orang-orang yang ingkar kepada Allah. Ini memberi iktibar kepada umat Islam supaya menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Galakan untuk sentiasa meminta kepada Allah SWT

Peristiwa Nabi Muhammad berulang alik berjumpa Allah SWT untuk meminta keringanan waktu solat memberi gambaran kepada kita supaya tidak jemu memohon doa kepada Allah dan tidak mudah berputus asa dalam meminta Allah untuk mengabulkan doa dan permintaan hambaNya.

Kesedihan terhadap dunia, pengubat rindunya adalah Allah SWT

Peristiwa Israk Mikraj adalah hadiah daripada Allah SWT untuk mengubati hati dan kesedihan Nabi Muhammad SAW setelah melalui ujian besar dengan kematian isteri baginda iaitu Siti Khadijah dan bapa saudara baginda, Abu Thalib. Ini sekaligus menunjukkan bahawa Allah SWT sebaik-baik sandaran ketika sedih dan kecewa.

sumber : https://isma.org.my/6-pengajaran-peristiwa-israk-mikraj/