Bercucur lagi selagi stok corn kernel masih ada. Selagi masih belum jemu. Ahad lepas saya buat cucur jagung ala potato fritters. Kali ni saya buat cucur versi rangup di luar lembut di dalam. 

Rahsia dan tips cucur rangup dia silalah tambah nasi yang dikisar bersama bahan bahan lain. Resipi cucur rangupada di bawah.

Boleh label cucur rangup kayangan sebab mewah dengan segala rencah. Segala sayur yang saya suka, saya letak. Cuma saya tertinggal nak letak daun kucai sebab dah terlampau banyak rencah saya masukkan. 

Ini bukan cucur versi mudah ye. Bagitau awal-awal. Sebab kena kisar bahan bahan tertentu. Alah, sesekali buat cucur banyak rencah why not? Sendiri nak makan sedap, kenalah rajin. Tak gitu? 

Asalnya resipi cucur ni saya tiruvasi dan olahkan dari resipi cucur nasi viral. Jadikan cucur rangup tu lebih sedap banyak rencah macam welcome-welcome sayur dan udang.

Resipi Rahsia Cucur Rangup Lembut

Bahan-bahan A
1 cawan nasi
1 genggam ikan bilis
2 tangkai cili api
1 biji bawang besar 
1/2 isi jagung (corn kernel)
4 ekor udang
1 keping hashbrown (ini sebab malas nak sagat kentang)
Air secukupnya
1/2 sudu camca garam

* Kisar semua bahan di atas

Bahan-bahan B
2 cawan tepung gandum
1 biji bawang besar (potong dadu)
1/2 cawan isi jagung (corn kernel)
1 batang carrot (disagat)
2 batang kacang panjang (dipotong²)
Kobis (dicincang halus) *terpulang nak letak banyak mana

Cara membuat cucur rangup

  • Selepas kisar bahan A, campurkan bahan A ke dalam bekas bersama bahan-bahan B. Gaul rata. Adunan kalau cair, tambah tepung. Kalau pekat, tambah air sikit sikit.
  • Panaskan minyak, dan sendukkan adunan menggunakan sudu. Goreng sampai kekuningan dan garing. 
  • Setelah masak, angkat dan toskan minyak.
  • Sedia untuk dihidangkan.

Inilah dia resipi cucur rangup tanpa telur. Nak tambah telur pun boleh tapi saja saya tak letak telur.  Rasa dia, of course lah sedap. Ada rasa manis jagung, bawang dan udang. Rasa pedas cili api sipi-sipi je. Yang penting, luar rangup isi dalam lembut.

Rencah yang lain ikut suka nak tambah sayur dan rencah apa. Sesetengah orang tak suka sayur, jadi tak perlu letak sayur. Boleh je buat ringkas cucur bawang rangup, cucur jagung rangup, cucur ikan bilis rangup ke. Yang penting, tips cucur rangup dia tambahkan nasi yang dikisar dalam adunan tepung gandum tu.