Tudiaa dalam kuali saya sajikan untuk blog. Sekarang ni cukup malas ye nak setup props ambil gambar. Ini kira asbol (asal boleh) je lah. Semalam, punyalah teringin nak makan asam pedas. Jadi, sajalah cuba-cuba masak ikut resipi di Youtube.

Dah Pandai Masak Asam Pedas

Masak-masak terus jadi. Eh, terasa kagum pula dengan diri sendiri. Encik suami makan sampai licin mangkuk dihirupnya kuah asam pedas tu. Wahhh...Unsangkarable!

Hari ni, ulang lagi masak asam pedas. Tapi ikan siakap pula. Ikan siakap masak asam pedas pun sedap juga kan? Awal pagi lepas encik suami pergi kerja dah mula kelentang kelentung di dapur.

Masakan berkuah begini lagi sedap kita masak awal dan makan beberapa jam selepas masak tu. Lagi pekat dan serap rasa dia.

Asam pedas masak cara Fiza

Kebetulan juga ada simpanan daun kesum. Menjadi juga asam pedasnya. Agaknya tambah lagi sedap bila gunakan asam jawa yang mak mentua bagi yang dibeli di Terengganu. Asam jawa kampung yang dibungkus dalam plastik dibunjut.

Saya masak asam pedas tanpa belacan dan bunga kantan. Encik suami tak suka makan belacan dan saya tak berapa suka bunga kantan. Tapi kalau makan di kedai, makan je. Cuma bila masak sendiri, kita tak letak apa yang kita tak suka.

Tak tahulah saya masak asam pedas gaya Johor ke Melaka. Saya panaskan minyak, masukkan sedikit halba. Kemudian masukkan bahan kisar (bawang besar, bawang merah rose, bawang putih, halia dan kunyit hidup). Dah pecah minyak, baru masukkan cili kisar biarkan pecah minyak kali kedua.

Masukkan air asam jawa dan daun kesum. Kacau rata dan biarkan pecah minyak untuk kali ketiga. Kemudian baru masukkan ikan dan tambah air secukupnya. Masukkan daun kesum. 

Akhir sekali baru perasakan dengan garam dan juga sedikit gula. Biarkan ikan masak. Tak letak tomato sebab tak ada tomato besar. Yang ada tomato cherry je. Malas nak letak.

Kalau guna ikan kembung, masak kejap je sebab ikan kembung cepat masak. Ikan siakap ni kena lama sikit. Haa begitulah masak asam pedas masak cara saya. Asam pedas Johor kot kan? Katanya kalau nak sedap, biar pecah minyak 3 kali. Kalau kuah pecah minyak elok macam tu kira sedaplah.

Alhamdulillah, Allah bagi sedap ikut tekak saya dan encik suami. Tekak orang lain tak tahulah. Dah pandai masak asam pedas ni, senanglah. Kalau teringin, kita masak sendiri je. Ini kalau ada kacang bendi mesti lagi sedap.

Sebelum ni pernah cuba masak asam pedas ikan kembung tapi macam kurang menjadi. Ini kalilah baru betul-betul menjadi. Kudos dear self!