Buah labu, sejenis buah atau sayuran? Secara saintifiknya buah labu adalah sejenis buah sebab mengandungi biji benih ye. Sebiji buah labu tu dapat buat bermacam-macam resepi masakan. Antaranya masak lemak labu putih/kuning, resepi labu masak lemak ikan masin, cucur labu, kek labu, lepat labu dan bermacam-macam lagi lah.

Walaupun Fiza ni penggemar labu, tapi biasa masak lauk labu masak lemak putih yang paling senang. Yang masakan lain tu belum cuba lagi. Bukan apa, Fiza je sorang makan labu. Husband bukan penggemar labu. Jadi, macam tak best masak menu yang orang lain tak makan. Makan sorang-sorang kurang nikmatnya kan. Rugi tenaga pun ye nak masak tu. Tapi kalau teringin rajin je nak masaknya pun.

Masakan sayur labu ni pun ada bermacam-macam style juga. Ada yang masak lemak labu pucuk manis, masak lemak labu udang, masak lemak labu bayam, masak lemak labu suun dan bermacam-macam jenis sayuran dan rencah lain boleh dicampur dengan labu ni. Kira sangat serasi lah rasa labu dengan rencah lain. Kira fleksibel lah si labu ni.



Cara masak lemak labu putih simple je sebenarnya. Masakan sayur yang paling ringkas dan cepat. 

Bahan-bahan
Labu (potong saiz sederhana, tak besar tak kecil sangat)
3 tangkai cili api atau 1 tangkai cili besar merah (dihiris)
1 biji bawang merah (dihiris)
1 batang serai (diketuk)
1 helai daun kunyit (buang batang tengah)
1 sk lada hitam
1/4 sk serbuk kunyit
1/2 sk garam
Santan (sebungkus/sekotak)
Air secukupnya

Cara Masak
Masukkan semua bahan dalam periuk dan masakkan atas dapur. Sambil-sambil tu kacau-kacau kuah dia supaya santan tak pecah minyak. Agak-agak labu dah empuk, tutup api. Dalam gambar tu santan pecah minyak tak berapa cantik dan kurang sedap sebab santan segar yang Fiza beli tu mungkin dah lama. Kalau nak selamat kan rasa dan rupa dia, guna je santan kotak. 

Melainkan kalau duduk kampung ada kelapa, parut dan perah sendiri tu lagi sedap rasa santan dia. Kalau kat kampung ni kena kupas kelapa, parut dan perah sendiri tu agak leceh juga tapi sesekali balik kampung buat sendiri rasa seronok juga. Jenuh juga nak kupas kelapa tu kalau dapat kelapa yang kulitnya liat. Jenuh weiii

Nak cara mudah, guna santan kotak je lah. Lepas tu sila aplikasi kan kaedah masak labu putih cara macam ni paling senang. Masuk je semua bahan dan tunggu masak je. Senang betul kan. Jangan kata tak tahu masak okay. Ikut je cara sendiri. Tapi kalau masak depan mak mertua ke depan mak sendiri sekalipun, kena ikut undang-undang masak mereka. Kalau tidak, derhaka nanti. Haha..bukanlah derhaka. Cuma kena bebel je lah paling tidak pun.